
JOHOR BAHRU, 25 Julai (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur hasutan menghina Islam dan menggunakan ungkapan jijik serta lucah terhadap Allah dan Nabi Muhammad SAW di laman Facebook, semalam.
Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang mendakwa melihat hantaran tular dimuat naik seorang pemilik akaun pada 12.38 tengah malam.
Beliau berkata berdasarkan semakan, pemilik akaun itu telah berkongsi beberapa gambar tangkap layar yang dimuat naik seorang individu yang menghina Islam dan menggunakan ungkapan bersifat jijik dan lucah.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 1 pagi tadi dan merampas dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
“Polis Johor memberikan peringatan tegas kepada semua pihak agar tidak sesekali menyentuh atau membangkitkan isu 3R (bangsa, agama dan institusi diraja) dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan mengesahkan sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aduan berhubung kandungan berunsur 3R yang didakwa menghina Islam di Facebook.
MCMC memaklumkan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang.
MCMC memaklumkan turut bekerjasama rapat dengan polis dan bersedia memberikan bantuan teknikal serta kepakaran digital bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, jika diperlukan.
The post Polis Tahan Lelaki Muat Naik Hantaran Hina Islam Di Facebook appeared first on The Malaysian Update.






