
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyebarkan sebuah video di aplikasi TikTok yang memanipulasi fakta berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, pihaknya telah mengesan satu hantaran video yang ditularkan oleh akaun TikTok bertajuk pendedahan penemuan bukti bedah siasat Zara yang mengandungi audio perbualan penemuan hasil bedah siasat mangsa pada Jumaat.
"Semakan awal polis mendapati hantaran video selama dua minit enam saat itu mengandungi kenyataan yang tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.
"Polis telah menahan seorang lelaki berusia 51 tahun pada jam 10.20 malam, Isnin. Kita turut merampas satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kumar berkata, permohonan reman telah dibuat dan suspek dibenarkan reman tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.
"Siasatan berhubung penularan tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bahagian D5, JSJ Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) akta hasutan 1948, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Mengulas lanjut Kumar berkata, keputusan untuk mengadakan inkues terhadap kes kematian Zara Qairina telah dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu.
"Polis memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau mengganggu prosiding mahkamah," katanya.
Beliau berkata, masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diakses di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama berkaitan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara.
"Semua pihak diseru memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," ujarnya.
Lagi artikel berkaitan:
