Polis terima 3 laporan dakwa ahli MPP kutip wang perlindungan dari rumah urut

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fadil Marsus

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima tiga laporan berkaitan video tular berhubung dakwaan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan meminta Wang perlindungan dari sebuah pusat urut di Wangsa Maju.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kes telah disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Setakat ini, kita telah menerima tiga laporan polis berhubung kes itu. Kes masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata beliau telah mengarahkan laporan polis dibuat, selain siasatan dimulakan serta-merta bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tegas termasuk pemecatan akan dikenakan sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut.

Difahamkan, wang itu sebagai perlindungan daripada sebarang tindakan penutupan premis berikutan terdapat aduan penduduk.