
KLUANG: Kemalangan maut di di Kilometer 55.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini pada pukul 12.13 tengah malam tadi susulan van dipandu seorang wanita yang membawa lima ahli keluarganya merempuh bahagian belakang lori yang berhenti di lorong kanan kerana mengalami kerosakan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut mengorbankan wanita berusia 42 tahun, manakala suaminya, 36, serta tiga anak mereka beserta adik ipar yang merupakan orang kurang upaya (OKU), cedera.
“Siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 37 dari arah Kulai menuju ke Ayer Hitam mengalami kerosakan enjin menyebabkan kenderaan itu berhenti di lorong kanan ketika jalan sesak. Susulan itu, pemandu lori telah memasang lampu kecemasan dan meletakkan alat kecemasan tiga segi di belakang lori.
“Bagaimanapun, kira-kira lima minit kemudian kenderaan van dinaiki mangsa sekeluarga merempuh bahagian belakang lori menyebabkan pemandu van berkenaan maut di lokasi akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Bahrin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II, Shoromi Salih berkata, seramai lima anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pemandu van iaitu seorang wanita dewasa maut, manakala lima penumpangnya cedera. Mangsa yang maut dipercayai akibat tersepit telah dikeluarkan anggota menggunakan peralatan khas,” katanya.-UTUSAN
The post Van dinaiki enam sekeluarga rempuh lori rosak di lorong kanan appeared first on Utusan Malaysia.






