
PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta guru-guru memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menerangkan secara menyeluruh berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
Beliau berkata, pihaknya memahami kegusaran yang disuarakan golongan guru berhubung polisi berkenaan yang bertujuan melindungi semua pihak terlibat dalam berurusan dengan murid.
“Keutamaan KPM adalah untuk melindungi semua murid, guru dan seluruh warga sekolah. Sekiranya terjadi sesuatu insiden di sekolah, polisi ini memberi panduan yang terperinci berkaitan tanggungjawab semua pihak dan cara untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Fadhlina berkata, beliau telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Penasihat Undang-Undang KPM untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru-guru.
“KPM komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Polisi Perlindungan Murid: Guru diminta bertenang appeared first on Kosmo Digital.






