
MELAKA: Kenyataan dan tindakan Pas menggunakan label agama dalam pertikaian politik didakwa erisiko memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, pendekatan politik sedemikian tidak sepatutnya digunakan sehingga menimbulkan ketakutan dan permusuhan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, perjanjian politik termasuk perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) perlu dinilai berdasarkan kandungan serta hujah, bukannya melalui penggunaan istilah agama yang melampau.
Tambah beliau, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan pendekatan CSA dengan istilah dajjal sepatutnya disusuli dengan penjelasan dan bukti berhubung dakwaan terhadap perjanjian berkenaan.
“Perjanjian politik mesti dinilai melalui kandungan dan hujah, bukannya label agama yang melampau.
“Kami bersetuju bahawa hasil negara adalah hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak boleh disyaratkan dengan sokongan politik. Jika ada fasal CSA yang menafikan prinsip itu, nyatakan fasalnya dan kemukakan bukti.
“Istilah yang menggerunkan ini tidak menjadikan sesuatu tuduhan itu lebih berasas,” katanya semasa sidang akhbar harian PH hari ini.
Dalam pada itu, Adly mengingatkan Pas supaya mengambil pengajaran daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981, yang menurutnya pernah dikaitkan dengan perpecahan dalam masyarakat Islam.
Beliau berkata, penerbitan Jabatan Mufti Negeri Melaka merekodkan kesan perpecahan itu termasuk pertelingkahan keluarga, pemulauan kenduri dan pertikaian berkaitan sembelihan.
Katanya, fatwa berkaitan amanat tersebut diwartakan di Melaka pada 25 Julai 2002 dengan ketetapan bahawa ia bercanggah dengan ajaran Islam, kepentingan masyarakat Islam, kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah.
“Penyebaran, pengajaran serta pengamalannya turut dilarang. Melaka kemudian mewartakan fatwa larangan kafir-mengkafir sesama umat Islam pada 26 September 2013.
“Walaupun label dajjal tidak sama dengan menghukum seseorang kafir, kedua-dua rekod ini wajar mengingatkan semua pihak tentang batas pertikaian politik dan pentingnya memelihara persaudaraan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada Pas mahu terus mempertahankan politik melabel sedangkan pendekatan sedemikian boleh menjejaskan hubungan sesama masyarakat.
Beliau turut meminta sekutu politik Pas menyatakan pendirian terhadap penggunaan sentimen agama dalam pertikaian politik.
Adly berkata, PH Melaka menolak penggunaan sentimen agama untuk menakutkan rakyat, sebaliknya menegaskan persaudaraan sesama Islam, penghormatan sesama manusia dan keadilan kepada semua sebagai asas kerukunan masyarakat. –UTUSAN
The post Politik label agama melampau boleh pecah belahkan masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.






