
BUKIT MERTAJAM : Umat Islam bukan sahaja perlu berpegang kepada al-Quran sebagai panduan hidup, tetapi, perlu menterjemahkan apa yang terkandung di dalam kitab suci itu kepada perbuatan seperti akhlak, integriti serta amalan yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa yang sama, mereka juga perlu menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada ummah seperti penyalahgunaan dadah dan rasuah untuk kekal menjadi contoh yang terbaik.
“Saya nak tanya, betulkah kita ini umat yang seimbang? Betulkah kita cintakan ilmu, kuat akidah dan akhlak? Betulkah kita nak jadi contoh yang baik? Akhlak kita, nilai kita, kerja kita, bagaimana?
“Kita tak boleh jadi contoh (yang terbaik) selagi masalah ini masih berlaku. Contoh (masalah) macam mana? Dadah banyak, rasuah banyak, sakau pun banyak. Bagi jaga orang Islam, hilang duit. Bagi jaga yang bukan Islam pun hilang duit. Contoh macam inilah.
“Ini bukan Anwar kata, bukan Tok Guru (kata). Ini janji Al-Quran. Kalau kamu jadi umat yang baik, kamu bukan saja (menjadi) contoh bagi orang Islam di Malaysia, tetapi kepada semua.
“Orang Cina kalau tengok kita, wah, orang Melayu Islam ini kerja rajin, akhlak baik, janji tak tipu, duit tak sakau. Orang hormat kita kerana apa? Allah dah janji (dalam al-Quran),” katanya ketika berucap pada Majlis Maulid Akbar Permatang Pauh di Masjid Tengah, Jalan Berapit di sini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Hasan serta Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman.
Sementara itu, Anwar memberitahu, umat Islam perlu memiliki kesedaran ilmu yang tinggi agar mereka mampu memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya bagi contoh, orang baca khutbah ini, hari-hari. Tapi, kalau dia baca dengan ilmu, dengan ikhlas, penyampaian itu dengan gaya yang menarik, suara yang tegas, maka, dia boleh menikam di lubuk hati dan jiwa nurani kita,” ujar beliau.-UTUSAN
The post Terjemah panduan daripada al-Quran kepada perbuatan untuk jadi contoh terbaik appeared first on Utusan Malaysia.






