
PUTRAJAYA: Kerjasama politik di peringkat negeri tidak boleh disamakan dengan pentabiran peringkat Persekutuan kerana kedua-duanya mempunyai landskap politik yang berbeza.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap negeri mempunyai perlembagaan, kepimpinan serta pendekatan politik tersendiri.
“Saya melihat negeri dengan pusat berlainan. Sebab setiap negeri itu ada perlembagaan negeri sendiri, ada kepimpinan negeri sendiri dan kemudian ada Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja mereka sendiri.
“Jadi pada saya, negeri itu agak berlainan daripada pusat untuk kita samakan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang meminta Perikatan Nasional (PN) memutuskan hubungan dengan Barisan Nasional (BN) susulan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.
Azalina berkata, kepimpinan parti sebelum ini juga telah menjelaskan bahawa kerjasama politik di peringkat pusat berbeza dengan pembentukan kerajaan di peringkat negeri.
“Itu pandangan beliau (Puad). Beliau pula sudah keluar daripada parti, mungkin pandangannya lebih keras atas alasan tersendiri. Tetapi bagi pihak kami, kita melihat di Johor kita pergi secara solo, di Negeri Sembilan kita bekerjasama,” katanya.
Mengulas sama ada kerjasama antara PH dan BN di peringkat Persekutuan akan diteruskan sehingga tamat penggal pentadbiran, beliau berkata, perkara itu telah dinyatakan dalam pelbagai kenyataan media oleh kepimpinan parti termasuk Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, keputusan kerjasama politik di setiap negeri dibuat berdasarkan keadaan setempat serta kepimpinan parti politik masing-masing.
“Mungkin di Melaka pula kita tidak pasti lagi bagaimana pembentukannya, tetapi kalau kita lihat di Sabah, kita pergi bersama PH secara tidak langsung. Jadi setiap negeri itu pembentukannya berlainan, (berdasarkan) keputusan parti politik sendiri,” katanya.
Sabtu lalu, BN muncul pemenang terbesar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 selepas memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. – UTUSAN
The post Politik negeri tidak boleh disamakan dengan peringkat Pusat – Azalina appeared first on Utusan Malaysia.






