Pos Malaysia jual kapal MV POS Logistics 1 pada harga RM52.7 juta, jimat kos penyelenggaraan RM1 juta sebulan

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 6:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pos Malaysia jual kapal MV POS Logistics 1 pada harga RM52.7 juta, jimat kos penyelenggaraan RM1 juta sebulan Image from: Pos Malaysia jual kapal MV POS Logistics 1 pada harga RM52.7 juta, jimat kos penyelenggaraan RM1 juta sebulan hamden19/11/2026 - 18:22 Kredit Gambar Maritime Optima Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Pos Malaysia Berhad melupuskan kapal pembawa pukal MV POS Logistics 1 (PL1) pada harga tunai AS$12.9 juta (kira-kira RM52.7 juta), sekali gus membolehkan kumpulan itu menghentikan kos pemeliharaan dan penyelenggaraan kapal berkenaan yang mencecah kira-kira RM1 juta sebulan.

 

Pelupusan itu turut membolehkan Pos Malaysia mengelakkan perbelanjaan penyelenggaraan dok kering (dry-docking) dianggarkan RM2 juta yang dijadualkan pada Januari 2027.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia menerusi penasihat utamanya, Maybank Investment Bank Berhad, Pos Malaysia berkata anak syarikat tidak langsung miliknya, PNSL Berhad, memeterai perjanjian memorandum (MOA) dengan WYW Co., Limited bagi penjualan kapal berusia 15 tahun itu.

 

Kapal berkenaan tidak lagi digunakan dalam operasi harian kumpulan dan kini dipegang khusus untuk tujuan pelupusan.

 

Menurut Pos Malaysia, penjualan itu juga membolehkan kumpulan menyusun semula sumber kewangan dan pengurusan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan teras, selain menyelesaikan hutang berkaitan kapal berkenaan.

 

Harga jualan dipersetujui berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual secara sukarela, dengan mengambil kira nilai pasaran semasa PL1 sebanyak AS$13 juta (RM53.1 juta) yang ditentukan penilai bebas, Braemar Valuations Limited.

 

Pembeli yang berpangkalan di Hong Kong itu akan menjelaskan 10% daripada harga jualan sebagai deposit, bersamaan kira-kira RM5.27 juta, manakala baki 90% atau RM47.39 juta perlu dibayar sebelum penyerahan kapal di Lumut, Perak.

 

Hasil jualan

Daripada hasil jualan kira-kira RM52.7 juta, sebanyak RM51.4 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi dalaman, termasuk pelunasan hutang antara syarikat PNSL kepada Pos Logistics Berhad dan Pos Malaysia.

 

Baki RM1.3 juta pula akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan berkaitan urus niaga pelupusan.

 

Pos Malaysia berkata cadangan pelupusan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka diselesaikan sepenuhnya pada suku keempat 2026.

 

Transaksi itu dijangka membantu memperkukuh kedudukan aliran tunai serta mengurangkan nisbah penggearan bersih kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved