Shin Yang raih kontrak RM316 juta siapkan baki pembinaan dua kapal OPV APMM

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Shin Yang raih kontrak RM316 juta siapkan baki pembinaan dua kapal OPV APMM Image from: Shin Yang raih kontrak RM316 juta siapkan baki pembinaan dua kapal OPV APMM hamden19/11/2026 - 17:15 OPV 1 APMM yang berjaya disiapkan. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Shin Yang Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Shin Yang Shipyard Sdn Bhd, menerima kontrak bernilai RM316 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiapkan baki kerja pembinaan dua kapal peronda pesisir pantai (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Kontrak itu membabitkan penyiapan kapal OPV 2 dan OPV 3 menerusi tender Perolehan Menyempurnakan Baki Kerja Offshore Patrol Vessel OPV 2 dan OPV 3 untuk APMM.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkapalan yang berpangkalan di Miri Sarawak itu berkata, anak syarikatnya menerima Surat Setuju Terima bertarikh 28 September 2026 yang ditandatangani pada 6 Oktober 2026.

 

Daripada jumlah kontrak RM316 juta itu, sebanyak RM129.56 juta diperuntukkan bagi penyiapan OPV 2, manakala baki RM186.44 juta melibatkan OPV 3. Nilai kontrak berkenaan tidak termasuk cukai jualan.

 

Projek itu bermula pada 15 Oktober 2026 dan dijadualkan selesai pada 14 Oktober 2029, dengan tempoh pelaksanaan keseluruhan selama 36 bulan.

 

Tempoh penyiapan OPV 2 ditetapkan selama 36 bulan, manakala OPV 3 selama 30 bulan.

 

Reka bentuk khusus

Menurut kumpulan itu, kedua-dua kapal berkenaan menggunakan reka bentuk khusus untuk melaksanakan rondaan sempadan jarak jauh, pengawasan zon ekonomi eksklusif (ZEE) serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).

 

Setiap kapal mempunyai panjang keseluruhan 83 meter, lebar 13.7 meter dan berat sesaran tidak kurang daripada 1,600 tan.

 

Kapal berkenaan direka untuk operasi keselamatan maritim jangka panjang, dengan keupayaan mencapai kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 20 knot serta tempoh operasi sehingga 21 hari bagi setiap misi dalam keadaan laut Sea State 7.

 

Ia turut dilengkapi stesen persenjataan kawalan jauh 30mm sebagai persenjataan utama.

 

Shin Yang berkata, penerimaan kontrak itu tertakluk kepada penyediaan bon pelaksanaan tidak boleh batal berjumlah RM5.27 juta.

 

Projek itu turut merangkumi pelaksanaan Program Latihan dan Pendidikan Profesional untuk Usahawan Berkembang – Sedia Bekerja (PROTEGE-RTW) seperti yang ditetapkan kerajaan, selain Program Kolaborasi Industri (ICP) mengikut dasar dan garis panduan berkaitan perolehan kerajaan.

 

Dari segi risiko, kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang risiko material selain risiko operasi berkaitan projek, termasuk kelewatan, turun naik kos dan ketersediaan sumber.

 

Projek asal bernilai RM738.9 juta tertangguh sejak 2020

Projek pembinaan tiga kapal OPV itu pada asalnya dianugerahkan kepada THHE Destini pada Januari 2017 dengan nilai kontrak RM738.9 juta dan tempoh pelaksanaan selama 42 bulan.

 

Ketiga-tiga kapal berkenaan sepatutnya diserahkan kepada APMM menjelang Ogos 2020, namun projek mengalami kelewatan akibat beberapa masalah termasuk kesukaran kewangan kontraktor serta kesan pandemik COVID-19.

 

Pada September 2022, pembinaan ketiga-tiga kapal itu masih belum selesai dan kelewatan berkenaan turut mencetuskan perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

 

Kerajaan kemudian mengambil alih projek itu daripada THHE Destini pada Januari 2023 bagi menangani beberapa isu pelaksanaan, termasuk keperluan pembiayaan tambahan RM152.6 juta untuk menyiapkan kapal pertama.

 

Hanya sebuah kapal, OPV 1 yang dinamakan KM Tun Fatimah, berjaya disiapkan dan diserahkan kepada APMM pada Januari 2024.

 

Berikutan kegagalan menyiapkan baki dua kapal, kerajaan menamatkan kontrak THHE Destini menerusi persetujuan bersama pada 31 Disember 2024. Kontraktor asal turut dikenakan ganti rugi ditetapkan (LAD) melebihi RM12 juta berikutan kelewatan berkenaan.

 

Kerajaan kemudiannya meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta bagi menyelesaikan baki pembinaan OPV 2 dan OPV 3, menjadikan kos keseluruhan projek tiga kapal itu meningkat kepada RM940 juta.

 

Pada Mei 2025, Shin Yang Shipyard menerima Surat Hasrat daripada KDN untuk mengambil alih kerja penyiapan kedua-dua kapal berkenaan sebelum menerima Surat Setuju Terima bagi kontrak terbaharu itu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved