Positif dadah, dua pemandu kenderaan perdagangan ditahan

26 Sep 2026 • 9:05 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Positif dadah, dua pemandu kenderaan perdagangan ditahan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Dua pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Bersepadu Dadah di Plaza Tol Duta di sini pada 22 dan 23 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) Hamidi Adam berkata kedua-dua individu terbabit dikesan positif hasil daripada 48 saringan air kencing yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata individu berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk ujian serta siasatan lanjut.

"Sekiranya mereka disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan yang ditetapkan, JPJ akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk menggantung lesen memandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai operasi selama dua hari itu, Hamidi berkata 275 kenderaan perdagangan diperiksa, dengan 62 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ketiadaan Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL) dan cermin gelap.

Sementara itu, Hamidi mendedahkan 25 pemandu telah gagal ujian saringan air kencing pertama daripada keseluruhan 341 pemandu yang diperiksa sepanjang Operasi Bersepadu Dadah setakat September tahun ini.

Beliau berkata jumlah pemandu yang positif dadah itu melibatkan 23 pemandu kenderaan barangan, serta masing-masing seorang pemandu kenderaan pelancongan dan kenderaan perkhidmatan awam.

Justeru, beliau memberi amaran JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang hingga boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

"Pada masa yang sama, syarikat dan pengendali pengangkutan turut diingatkan supaya tidak mengambil mudah aspek pemantauan pemandu serta penyelenggaraan kenderaan," katanya.

Hamidi berkata tanggungjawab memastikan keselamatan di jalan raya bukan terletak kepada pemandu semata-mata, malah turut melibatkan pihak yang mengurus kenderaan tersebut.

-- BERNAMA

TAG: JPJ WPKL, Hamidi Adam, operasi, dadah, AADK, pemandu perdagangan, Methamphetamine

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved