
Ikan dengan nama saintifiknya Silurus glanis ini merupakan spesies ikan air tawar terbesar yang boleh ditemui di benua Eropah.
Rekod menunjukkan wels catfish mampu membesar melebihi tiga meter panjang dan mencapai berat melebihi 150 kilogram, sekali gus meletakkannya sebagai salah satu spesies terbesar dalam keluarga Siluridae.
Taburan asal wels catfish meliputi sebahagian besar perairan air tawar di Eropah dan Asia Barat, khususnya sistem sungai yang mengalir ke lembangan Laut Baltik, Laut Hitam, Laut Caspian serta Laut Aral.
Ia turut ditemui sehingga ke selatan negara Sweden dan Finland serta beberapa sistem sungai di Turkiye.
Ikan ini kemudian diperkenalkan ke banyak perairan lain di Eropah sehingga membentuk populasi baharu. Di sesetengah lokasi, pengenalannya turut menimbulkan kebimbangan terhadap ekologi tempatan.
Saudara jauh
Wels catfish dan ikan tapah (wallago leerii) tergolong dalam satu keluarga yang sama iaitu Siluridae.
Justeru, kedua-duanya boleh dianggap sebagai ‘saudara jauh’, walaupun berada dalam genus berbeza dan terpisah ribuan kilometer.
Dari sudut morfologi, kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan ketara seperti kepala yang besar dengan badan panjang dan menirus, kulit tanpa sisik serta sirip anal panjang.
Kedua-duanya merupakan pemangsa yang menduduki kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan ekosistem sungai masing-masing.

Fishing Tourism
Wels catfish telah lama dibangunkan sebagai produk pelancongan aktiviti memancing di beberapa negara Eropah.
Antara contoh terbaik adalah Sungai Ebro di Sepanyol. Kawasan seperti Caspe berkembang sebagai destinasi khusus untuk pemancing yang datang dengan satu impian, bertarung dengan wels catfish saiz gergasi.
Industri yang terbentuk di sekeliling habitat ikan ini melangkaui aktiviti memancing semata-mata. Wujud operator dan jurupandu profesional, bot, penginapan, penyewaan peralatan serta pakej memancing yang disusun khusus untuk pemancing luar.
Negara kita sebenarnya boleh melihat potensi spesies ikan tempatan dari perspektif berbeza.
Kita mempunyai tapah, toman, kelah dan beberapa ikan air tawar lain yang mempunyai nilai tinggi sebagai ikan sukan (sport fish). Jika habitat dijaga, populasi diurus dengan baik dan konsep tangkap dan lepas diterapkan, spesies seperti tapah berpotensi menjadi produk fishing tourism yang unik.
Bayangkan, pemancing luar datang ke Malaysia khusus untuk memburu tapah liar bersaiz ‘trofi’ bersama guide tempatan.
Mereka memerlukan penginapan, bot, makanan, pengangkutan dan khidmat pemandu.
Seekor ikan yang dilepaskan kembali ke sungai boleh memberi nilai ekonomi berulang kali apabila menjadi tarikan kepada pemancing berikutnya.
Eropah menunjukkan bagaimana seekor ikan gergasi boleh menjadi sebahagian daripada identiti sesuatu destinasi memancing. Malaysia pula sudah mempunyai asetnya.
Mungkin sudah tiba masanya kita melihat tapah dan spesies natif lain bukan hanya sebagai ikan hidup di sungai, tetapi sebagai sumber pelancongan memancing bernilai tinggi yang perlu diurus, dilindungi serta diwariskan kepada generasi seterusnya.
The post Potensi ikan gergasi dari sudut pelancongan appeared first on Kosmo Online.



