
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar meraikan detik bersejarah negara, malah menjadi ruang untuk rakyat menghargai nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi sejak puluhan tahun lalu.
Pelbagai acara dan program diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap tanah air menjelang sambutan kemerdekaan negara.
Namun, di sebalik kemeriahan tersebut, pempengaruh, Mohd. Muzakir atau lebih dikenali sebagai Diva M memilih pendekatan berbeza dengan memotong rambut secara percuma dan menceriakan warga emas di Rumah Seri Kenangan Cheras.
Bagi Muzakir, semangat kemerdekaan bukan hanya diterjemahkan menerusi kibaran Jalur Gemilang atau kemeriahan sambutan, sebaliknya turut membawa nilai keprihatinan, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap golongan yang memerlukan perhatian dalam masyarakat.
Tambahnya, khidmat memotong rambut dipilih kerana ia merupakan antara kemahiran yang dimilikinya dan boleh dimanfaatkan secara langsung untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Saya mempunyai kemahiran dalam bidang memotong rambut, jadi saya fikir mengapa tidak saya gunakan kemahiran itu untuk membantu orang lain.
“Mungkin bagi sesetengah orang, memotong rambut dianggap perkara kecil, tetapi bagi saya, ia sangat bermakna kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran ini,” katanya.
Mengakui tersentuh ketika kali pertama memulakan program berkenaan, Muzakir berkata, aktiviti itu menjadi pengalaman sulungnya menganjurkan khidmat potong rambut secara khusus di rumah warga emas.
“Ini kali pertama saya menganjurkan program potong rambut di rumah warga emas. Ketika kali pertama memotong rambut tadi, saya berasa sebak kerana seolah-olah diberikan peluang besar dalam hidup untuk melakukan sesuatu yang baik kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Muzakir turut menggalakkan lebih ramai usahawan tampil mengambil pendekatan sama bagi mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan saling membantu.
Katanya, golongan usahawan bukan sahaja boleh menyumbang dari segi kewangan, malah turut berkongsi kemahiran dan kepakaran masing-masing untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
The post Potong rambut percuma semarak Hari Kebangsaan buat warga emas appeared first on Utusan Malaysia.






