
GUA MUSANG – Seramai 81 mangsa banjir melibatkan 22 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, Kampung Limau Kasturi di sini tidak sabar untuk pulang ke rumah masing-masing pagi esok.
Penduduk, Asmah Ali, 62, berkata, walaupun selesa berada di PPS, dia tetap teringatkan rumah dan berharap keadaan cuaca terus baik bagi membolehkan mereka pulang.
Katanya, ini merupakan pengalaman pertamanya berpindah dan tinggal di PPS selepas rumahnya dilanda banjir.
“Banjir pada 2014 lebih buruk dan ketika itu saya hanya berpindah ke kawasan bukit. Kali ini, kawasan rumah digenangi air secara mendadak dan saya mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS SK Limau Kasturi 1 di sini hari ini.
Penduduk, Azizah Othman, 62, pula berkata, dia tidak sabar untuk pulang kerana perlu membersihkan rumah dipenuhi lumpur selain menguruskan kambing yang ditinggalkan.
Katanya, banjir kali ini mengejutkan apabila air melimpah sehingga paras jendela bahagian atas rumah berbanding kejadian tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, paras banjir semakin menurun, namun PPS belum dapat ditutup hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Mangsa banjir Gua Musang boleh balik rumah esok appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Banjir KL, Ampang: Tiga mangsa terkandas dalam kereta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/banjir-ampang-jaya-1024x768.jpeg)

