PPS SK Parit Mahang ditutup selepas 20 hari beroperasi

LocalEnvironment
25 Nov 2026 • 7:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PPS SK Parit Mahang ditutup selepas 20 hari beroperasi

SHAH ALAM, 25 NOV: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Ijok, Kuala Selangor yang dibuka sejak 5 November lalu susulan kejadian banjir ditutup sepenuhnya jam 5 petang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan mengisytiharkan penutupan pusat pemindahan berkenaan selepas 20 hari beroperasi menempatkan penduduk terjejas.

Berdasarkan rekod pagi tadi, PPS berkenaan masih menempatkan 144 mangsa daripada 37 keluarga, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding 346 mangsa daripada 86 keluarga pada 18 November lalu.

Sebelum ini, Mohd Raiz memaklumkan PPS SK Parit Mahang dikekalkan operasinya meskipun paras air mulai surut berikutan kebimbangan banjir berulang.

Menurutnya, pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan sistem perparitan di sekitar Parit Mahang mampu menampung aliran air, terutama ketika hujan pada sebelah petang.

Banjir di kawasan berkenaan sebelum ini berpunca daripada sistem perparitan yang dinaiki air sehingga menyebabkan limpahan memasuki kediaman penduduk.

Image from: PPS SK Parit Mahang ditutup selepas 20 hari beroperasi
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara SK Parit Mahang Kuala Selangor pada 18 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan peruntukan hampir RM9 juta bagi pembinaan PPS kekal tambahan di kawasan SK Parit Mahang.

Kemudahan baharu itu dijangka mampu menempatkan 500 mangsa tambahan, sekali gus meningkatkan kapasiti keseluruhan penempatan di kawasan sekolah berkenaan kepada 1,500 orang.

Langkah itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir berskala besar, khususnya di kawasan Parit Mahang yang pernah menempatkan hampir 1,000 mangsa berdasarkan rekod sedekad lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved