Untung bersih Media Prima jatuh 60% pada 1QFY27 susulan kemerosotan hasil iklan

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Media Prima jatuh 60% pada 1QFY27 susulan kemerosotan hasil iklan Image from: Untung bersih Media Prima jatuh 60% pada 1QFY27 susulan kemerosotan hasil iklan liza25/11/2026 - 17:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov – Media Prima Berhad mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 59.5% kepada RM630,000 bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY2027) berbanding RM1.56 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan kemerosotan hasil pengiklanan.

 

Kumpulan media itu merekodkan hasil sebanyak RM186.10 juta, susut 6.4% berbanding RM198.88 juta pada 1QFY2026, dipengaruhi kemerosotan 11% dalam pendapatan pengiklanan.

 

Penurunan hasil itu bagaimanapun sebahagiannya diimbangi peningkatan 11% dalam hasil bukan pengiklanan, selain pengurangan perbelanjaan operasi dan peningkatan pendapatan kewangan yang membantu mengehadkan kemerosotan keuntungan kumpulan.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut menyusut sedikit kepada RM4.14 juta berbanding RM4.17 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil pengiklanan terus merudum

Menurut laporan kewangan kumpulan yang difailkan kepada Bursa Malaysia, hasil pengiklanan merosot kepada RM141.39 juta berbanding RM158.64 juta sebelumnya.

 

Hasil jualan akhbar turut berkurangan kepada RM5.25 juta daripada RM6.24 juta, manakala pendapatan percetakan dan pengedaran akhbar susut kepada RM3.11 juta berbanding RM4.21 juta.

 

Sebaliknya, hasil jualan kandungan meningkat kepada RM7.84 juta daripada RM2.70 juta, manakala hasil jualan barangan beli-belah rumah berkembang kepada RM24.38 juta berbanding RM23.89 juta.

 

Pendapatan langganan bagaimanapun menurun kepada RM1.03 juta daripada RM1.21 juta, sementara hasil sampingan lain meningkat kepada RM2.02 juta berbanding RM963,000.

 

Media digital catat pertumbuhan sederhana

Mengikut segmen perniagaan, Media Digital mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11%, disokong pertumbuhan 10% dalam pendapatan pengiklanan dan 12% dalam hasil perkhidmatan perkongsian antara segmen.

 

Segmen Home Shopping pula merekodkan pertumbuhan hasil sederhana sebanyak 2%, disokong peningkatan 10% jualan e-dagang yang mengimbangi penurunan 4% dalam jualan menerusi platform televisyen.

 

Bagaimanapun, Media Luar mencatatkan penurunan hasil 2% berikutan kemerosotan 8% dalam pendapatan paparan dan pencahayaan, walaupun hasil pengeluaran dan sumber lain meningkat 18%.

 

Media Cetak pula merekodkan penurunan hasil 9%, dipengaruhi kemerosotan 3% dalam pendapatan pengiklanan serta 19% dalam hasil bukan pengiklanan.

 

Jangka persekitaran operasi kekal mencabar

Mengulas prospek, Media Prima menjangkakan persekitaran operasi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 kekal mencabar, mengambil kira ketidaktentuan luaran serta perubahan corak penggunaan media yang memberi kesan kepada hasil pengiklanan.

 

Sehubungan itu, kumpulan akan memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan kawalan kos secara berhemah bagi mengekalkan daya saing serta capaian khalayak menerusi aset media bersepadu miliknya.

 

Strategi kumpulan bagi FY2027 hingga FY2029 akan berpandukan pelan hala tuju tiga tahun yang merangkumi tiga teras utama iaitu meningkatkan kecekapan operasi, melindungi sumber hasil teras dan mengembangkan perniagaan baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan.

 

Lembaga Pengarah berpandangan strategi berkenaan dapat meningkatkan daya tahan perniagaan serta mengekalkan penciptaan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, tertakluk kepada ketiadaan keadaan luar jangka. Media Prima tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku kewangan berakhir 30 September 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved