NVIDIA telah memperkenalkan platform NVIDIA RTX Spark pada pertengahan tahun ini, menggabungkan penggunaan cip pemprosesan Arm bersama-sama dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA sendiri untuk menghasilkan sebuah platform pemprosesan yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis tugasan dan keperluan perkomputeran pengguna.

ASUS Malaysia hari ini mengesahkan bahawa mereka telah membuka pra-tempahan untuk siri komputer riba RTX Spark pertama mereka, iaitu ASUS ProArt P14 dan juga ASUS ProArt P16 yang dikuasakan oleh platform cip pemprosesan AI NVIDIA RTX Spark N1X yang tampil dengan prestasi 1-petaflop AI dan 128GB memori LPDDR5X terbina didalam platform cip tersebut.

Dari segi paparan pula, ASUS ProArt P14 dan P16 tampil dengan paparan OLED bersaiz 14 inci (2880×1800) dan 16 inci (3840×2400) dengan kadar segar semula 120Hz.

Dari segi sokongan palam pula, ASUS ProArt P14 dan P16 tampil dengan tiga palam USB 4.0 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad SD Express 7.0. Komputer riba ini juga dimuatkan dengan sokongan untuk teknologi sambungan nirwayar WiFi7 dan juga Bluetooth 5.4.

Untuk ketahanan bateri, kedua-dua komputer riba ini dimuatkan dengan bateri 99WHr yang boleh bertahan untuk beberapa jam dengan penggunaan pemprosesan perkomputeran dan AI secara penuh. Komputer riba ini juga didatangkan dengan bongkah pengecasan 140W dengan kabel pengecasan USB Type-C yang boleh menampung pengacasan setinggi 240W.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa pra-tempahan siri komputer riba ASUS ProArt P14 dan P16 ini sudahpun mula dibuka untuk pasaran tempatan pada harga RM29,999 untuk kedua-dua model komputer riba tersebut. Ini bermakna tidak kira model saiz paparan yang dipilih, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan tanda harga tersebut. Pra-tempahan ini juga hanya dibuka melalui laman web ASUS Malaysia eStore sahaja bermula 8 Oktober 2026 sehingga 31 Oktober 2026.

Pra-tempahan komputer riba dalam tempoh ini akan hadir dengan paparan skrin ASUS ProArt Display OLED PA279CDV bernilai RM 4250 secara percuma, selagi stok masih ada.
Sumber: ASUS Malaysia eStore




