johardy16/11/2026 - 18:56 KUALA LUMPUR 15 Nov - Kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan selama 99 tahun bagi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dengan premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran awal kira-kira RM4.67 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk melindungi mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur dan memastikan institusi bernilai warisan terus berkhidmat kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, premium nominal itu diluluskan susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap pemeliharaan bangunan bersejarah berkenaan selepas melawat dewan itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari.
Hannah mengumumkan keputusan itu pada majlis makan malam ulang tahun ke-103 KLSCAH semalam.
“Ketika Perdana Menteri melawat dewan ini pada Februari, beliau meminta saya mencari penyelesaian. Saya mengambil serius arahan itu dan saya gembira kami dapat mencapai hasil yang mengiktiraf kepentingan memelihara institusi bersejarah ini,” katanya.
Jumlah bayaran RM5,011 termasuk sewa dan caj pentadbiran
Hannah berkata, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan kemudian meluluskan penyerahan balik dan pemberimilikan semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 September, dengan tempoh pajakan sehingga 99 tahun.
Beliau berkata, surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober mengesahkan premium tanah sebanyak RM1,000, manakala jumlah keseluruhan yang perlu dibayar mengikut notis tanah rasmi ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran, dengan sewa tanah tahunan ditetapkan pada RM3,151.
“Setelah diiktiraf sebagai bangunan Warisan Kebangsaan sejak 2007, KLSCAH merupakan bahagian penting dalam sejarah Kuala Lumpur. Namun, pengiktirafan warisan mesti disertai usaha bermakna bagi memastikan bangunan ini disenggara dan dipelihara dengan baik.
“Dengan meringankan beban kewangan berkaitan premium tanah, kami berharap KLSCAH dapat menyalurkan lebih banyak sumbernya untuk menyenggara dewan, memelihara warisannya dan meneruskan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Hannah menegaskan, pemeliharaan warisan perlu mencerminkan kepelbagaian sejarah dan identiti Kuala Lumpur, sambil menambah usaha melindungi warisan bandar raya itu perlu merangkumi semua komuniti.
Pemeliharaan warisan merangkumi semua komuniti
Sehubungan itu, beliau mengetengahkan usaha berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengkaji pemeliharaan kampung tradisional Melayu di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.
“Sejarah bandar raya kita dibentuk oleh pelbagai komuniti dan setiap komuniti menyumbang kepada Kuala Lumpur yang kita kenali hari ini. Memelihara warisan bersama ini ialah tanggungjawab yang mesti kita pikul bersama,” katanya. — BERNAMA






