KUALA LUMPUR - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) telah diwartakan sebagai bangunan warisan pada awal 2007.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perubahan status itu menyebabkan nilai tanah tidak lagi dinilai sebagai tanah komersial kerana hanya boleh digunakan bagi tujuan institusi serta mengekalkan fungsi bangunan warisan tersebut.
Menurutnya, KLSCAH yang mempunyai baki tempoh pajakan selama lapan tahun mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengurangan premium memandangkan bangunan itu berstatus warisan dan beroperasi sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan.
"Apabila mereka menukar status tanah daripada komersial kepada institusi, tanah itu sudah tidak bernilai seperti tanah komersial.
"Ia tidak boleh dibangunkan menjadi kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya hanya kekal sebagai bangunan warisan institusi seperti sekarang," katanya.
Hannah berkata sedemikian pada pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan), pada Isnin.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran premium terdahulu kira-kira RM4.67 juta.
Hannah menjelaskan, rayuan bagi mendapatkan pengurangan premium itu dikemukakan atas dasar berkenaan sebelum jawatankuasa yang menilai permohonan bersetuju menetapkan premium pada kadar RM1,000.
Pada 14 September lalu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi.
Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober pula menetapkan premium tanah sebanyak RM1,000, manakala jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011 termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.
Kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.
Keputusan itu susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan selepas mengunjungi dewan itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu.






