Presiden UMNO tidak dapat hadir Himpunan Munajat dan Penyatuan Ummah

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 7:46 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Presiden UMNO tidak dapat hadir Himpunan Munajat dan Penyatuan Ummah

KOTA BHARU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menghadiri Himpunan Munajat dan Penyatuan Ummah di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Jumaat ini, seperti dijadualkan kerana mempunyai program lain di Melaka pada tarikh sama.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh ketika pertemuan bagi membincangkan penyertaan kedua-dua parti dalam program tersebut.

“Presiden UMNO sebenarnya direncanakan untuk menyampaikan ceramah bersama Presiden Pas pada himpunan berkenaan, namun tidak dapat hadir kerana ada program lain di Melaka,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) Parlimen Kubang Kerian di Pasir Tumboh, di sini, malam tadi.

Takiyuddin bagaimanapun mengarahkan penyokong parti itu memenuhi stadium berkenaan bagi menzahirkan kekuatan Pas di Kelantan yang disifatkan sebagai pangkalan utama untuk meniupkan semangat penyatuan ummah.

Beliau berkata, Pas menyasarkan kehadiran sehingga 200,000 orang pada himpunan berkenaan bagi membuktikan kekuatan parti itu tanpa penyertaan UMNO atau parti lain.

“Kalau dengan kehadiran UMNO atau parti-parti lain, kita mampu kumpul sehingga 100,000 orang, kita tunjuk bahawa tanpa kehadiran parti lain, kita boleh kumpul sehingga 200,000 orang. Biar orang tahu ini Kelantan. Pengkalan utama untuk meniupkan semangat penyatuan ummah,” katanya.

Takiyuddin menegaskan, Pas sentiasa bersedia bekerjasama dengan parti-parti Melayu serta parti bukan Melayu yang tidak ekstrem selaras dengan pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Pas sebagai sebuah parti yang mementingkan penyatuan dan perpaduan ummah sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti Melayu serta parti-parti bukan Melayu bukan ekstrem seperti ditekankan oleh Presiden Pas,” katanya. – UTUSAN

 

The post Presiden UMNO tidak dapat hadir Himpunan Munajat dan Penyatuan Ummah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved