Press Metal sasar rekod baharu pendapatan selepas untung bersih 9MFY26 naik 30% kepada RM2.04 bilion - RHB Research

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 11:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Press Metal sasar rekod baharu pendapatan selepas untung bersih 9MFY26 naik 30% kepada RM2.04 bilion - RHB Research Image from: Press Metal sasar rekod baharu pendapatan selepas untung bersih 9MFY26 naik 30% kepada RM2.04 bilion - RHB Research hamden27/11/2026 - 11:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov – Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) berpotensi mencatatkan prestasi kewangan rekod baharu, disokong harga aluminium yang kekal tinggi dan bekalan global yang semakin ketat, meskipun kumpulan itu dijangka berdepan tekanan kos bahan mentah serta sedikit gangguan kapasiti peleburan pada suku akan datang.

 

RHB Research berkata, prospek harga aluminium terus dipengaruhi ketidaktentuan bekalan global, termasuk konflik yang kembali memuncak di Timur Tengah dan gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz yang berpotensi mengehadkan bekalan logam berkenaan.

 

Perkembangan itu boleh menyokong kenaikan premium aluminium serantau dan harga di Bursa Logam London (LME), sekali gus memberikan ruang kepada Press Metal untuk mengekalkan prestasi pendapatan yang kukuh.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan kumpulan akan sederhana dari suku ke suku berikutan harga aluminium yang semakin lemah, peningkatan kos alumina serta gangguan kecil terhadap kapasiti peleburan.

 

Kesan itu bagaimanapun berpotensi diimbangi oleh sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

Bagi keputusan kewangan, keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Press Metal bagi suku ketiga 2026 (3QFY26) mendatar berbanding suku sebelumnya, tetapi meningkat 21% tahun ke tahun (YoY) kepada RM717 juta selepas mengecualikan kerugian pertukaran asing, keuntungan penilaian semula dan kerugian rosot nilai.

 

Ini menjadikan keuntungan bersih teras terkumpul bagi sembilan bulan pertama 2026 (9MFY26) sebanyak RM2.04 bilion, meningkat 30% YoY dan merangkumi 77% hingga 79% daripada unjuran pendapatan penuh firma penyelidikan serta konsensus pasaran.

 

Prestasi itu secara keseluruhannya menepati jangkaan.

Menariknya, hasil kumpulan meningkat 9% walaupun harga aluminium semerta merosot 9% berbanding suku sebelumnya, berkemungkinan disebabkan kesan kelewatan perubahan harga jualan.

 

Pihak pengurusan turut memberikan panduan purata harga jualan campuran kekal mendatar berbanding suku sebelumnya, selain disokong jumlah jualan yang sihat.

 

Press Metal turut mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 2.5 sen sesaham bagi 3QFY26, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi 9MFY26 sebanyak 7.5 sen.

 

Dari sudut pasaran komoditi, harga aluminium di LME mencatatkan purata AS$3,097 setan setakat suku semasa, manakala kos alumina dan anod karbon masing-masing meningkat 7% dan 9%.

 

Premium Pasaran Jepun (MJP) pula menyusut kepada AS$231 setan, menjadikan purata premium terkumpul tahun ini sebanyak AS$269.

 

Pada masa sama, inventori aluminium LME kekal pada paras terendah sepanjang masa sebanyak 219,000 tan, merosot 54% YoY, manakala stok aluminium di Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE) menyusut kepada 119,000 tan, iaitu penurunan 77% dalam tempoh lima bulan.

 

Firma penyelidikan berkata, penyusutan inventori itu berpotensi mengimbangi tekanan terhadap harga aluminium susulan peningkatan risiko kenaikan kadar faedah, memandangkan harga aluminium mempunyai korelasi negatif sebanyak 0.85 kali dengan kadar faedah.

 

Bagaimanapun, LME baru-baru ini memperkenalkan peraturan sementara bagi menangani tekanan kekurangan inventori yang paling ketara sejak 1990, dengan menghalang sebilangan kecil peserta pasaran daripada mengawal terlalu banyak kedudukan logam yang tersedia di bursa berkenaan.

 

Langkah itu berpotensi memberi tekanan kepada premium serantau, walaupun LME mungkin menarik balik peraturan berkenaan apabila harga kembali stabil.

 

Peleburan dijangka berkurangan 3%

Dari aspek operasi, Press Metal memberikan panduan bahawa kapasiti peleburan dijangka berkurangan sedikit sebanyak 3% sepanjang suku keempat 2026 (4QFY26), susulan kekurangan bekalan elektrik akibat keadaan cuaca lebih kering.

 

Bagaimanapun, paras air menunjukkan peningkatan ketara sepanjang dua minggu lalu, manakala firma penyelidikan menganggarkan kesan gangguan operasi itu kurang daripada 1% berbanding kapasiti pengeluaran tahunan penuh kumpulan sebanyak 1.08 juta tan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap Press Metal dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.05 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 42%.

 

Penilaian saham kumpulan ketika ini berada pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27F sebanyak 19 kali, iaitu 1.5 sisihan piawai di bawah purata sejarahnya, berbanding sasaran P/E firma penyelidikan sebanyak 25 kali atau satu sisihan piawai melebihi purata sejarah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved