Prestasi 9MFY26 SP Setia di bawah jangkaan, sasaran FY26 semakin mencabar – CGSI

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi 9MFY26 SP Setia di bawah jangkaan, sasaran FY26 semakin mencabar – CGSI Image from: Prestasi 9MFY26 SP Setia di bawah jangkaan, sasaran FY26 semakin mencabar – CGSI liza16/11/2026 - 09:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov – SP Setia Bhd dijangka berdepan cabaran untuk mencapai sasaran jualan RM4.6 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26) selepas hanya merekodkan jualan RM2.34 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata pencapaian itu bersamaan 51% daripada sasaran tahunan kumpulan manakala momentum pelancaran projek yang lebih perlahan menjadikan sasaran berkenaan semakin sukar dicapai.

 

Susulan perkembangan itu, CGSI menyemak turun unjuran jualan SP Setia bagi FY26 kepada RM4 bilion daripada RM4.6 bilion sebelum ini, tidak termasuk sebarang jualan tanah berskala besar.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan aktiviti jualan dan pelancaran projek kumpulan berkenaan meningkat pada suku keempat 2026, dengan pengurusan SP Setia masih yakin dapat mencapai sasaran jualan tahunannya.

 

Pelancaran projek perlahan, permintaan kediaman sederhana

Dari segi pelancaran projek, SP Setia merekodkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.08 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding sasaran tahunan RM3.99 bilion.

 

Kumpulan itu hanya melancarkan projek bernilai RM400 juta pada suku ketiga, manakala baki pelancaran bernilai RM1.92 bilion dijadualkan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

 

CGSI berpandangan jumlah pelancaran yang masih belum dilaksanakan itu memerlukan peningkatan ketara dalam aktiviti pembangunan SP Setia sepanjang suku terakhir tahun ini.

 

“Pengurusan SP Setia turut mengakui permintaan kediaman domestik yang lebih perlahan yang mendorong kumpulan berkenaan mengubah campuran pembangunannya secara berperingkat dengan memberi tumpuan lebih besar kepada hartanah komersial dan perindustrian.

 

“SP Setia juga sedang berusaha meningkatkan sumbangan daripada projeknya di Vietnam dan Australia bagi menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Keuntungan bersih teras susut 60%

Dalam perkembangan berkaitan, keuntungan bersih teras SP Setia merosot 60.1% kepada RM75.9 juta bagi sembilan bulan pertama FY26 berbanding RM190.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan turut menyusut 10.3% kepada RM2.32 bilion daripada RM2.59 bilion, mencerminkan prestasi pembangunan hartanah yang lebih perlahan.

 

Bagi suku ketiga FY26, SP Setia mencatatkan kerugian bersih teras RM2.2 juta berbanding keuntungan RM35.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil merosot 22.9% kepada RM672.6 juta.

 

CGSI mengaitkan prestasi kewangan yang lebih lemah itu dengan ketiadaan pengiktirafan jualan tanah dan pendapatan pembangunan hartanah yang lebih perlahan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menganggarkan hampir RM1 bilion jualan tanah berpotensi diiktiraf dalam tempoh tiga hingga empat suku akan datang yang menjadi pemangkin kepada pemulihan keuntungan kumpulan.

 

CGSI turunkan harga sasaran kepada 92 sen

Susulan prestasi yang lebih lemah daripada jangkaan, CGSI mengurangkan unjuran keuntungan sesaham SP Setia bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 34%, 17% dan 8%.

 

Semakan itu mengambil kira kelewatan pengiktirafan jualan tanah serta andaian jualan yang lebih rendah. Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan menurunkan harga sasaran saham SP Setia kepada RM0.92 daripada RM1.34 sebelum ini, berdasarkan penilaian aset bersih disemak semula (RNAV).

 

Walaupun prospek pendapatan jangka pendek masih sederhana, CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap saham SP Setia dengan mengambil kira penilaian saham yang rendah serta ruang peningkatan keuntungan selepas FY26 menerusi pengiktirafan jualan tanah, perkembangan taman perindustrian dan penambahan bank tanah baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved