liza16/11/2026 - 15:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Scientex Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 16.8% kepada RM620.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (FY2026) selepas kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM4.81 bilion, meningkat 6.5% berbanding RM4.52 bilion pada FY2025, didorong prestasi lebih baik kedua-dua bahagian perniagaannya iaitu pembungkusan dan hartanah.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 17.6% kepada RM864.8 juta berbanding RM735.3 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan sesaham bertambah 16.7% kepada 39.85 sen daripada 34.13 sen.
Dalam laporan tahunan FY2026, Scientex berkata prestasi lebih baik itu disokong peningkatan jumlah jualan, kecekapan operasi serta pengoptimuman campuran produk, selain rekod jualan unit yang dicapai bahagian hartanah.
Scientex hampir capai sasaran 50,000 rumah
Bagi bahagian hartanah, Scientex menyiapkan sebanyak 5,582 rumah mampu milik sepanjang FY2026, menjadikan jumlah terkumpul kediaman yang disiapkan sebanyak 47,846 unit.
Pencapaian itu menyaksikan kumpulan hanya perlu menyiapkan baki 2,154 unit lagi untuk mencapai sasaran 50,000 rumah mampu milik menjelang 2028.
Menariknya, kira-kira 99.8% daripada keseluruhan rumah mampu milik yang telah disiapkan sudah terjual, manakala sekitar 70% daripada kediaman berkenaan ditawarkan pada harga di bawah RM300,000.
Dari segi prestasi kewangan, hasil bahagian hartanah meningkat 8.3% kepada RM2.20 bilion berbanding RM2.03 bilion pada FY2025, manakala keuntungan operasi bertambah 5.4% kepada RM624.1 juta daripada RM592.3 juta.
Scientex berkata permintaan terhadap rumah mampu milik kekal sihat, disokong inisiatif kerajaan untuk meluaskan akses pemilikan rumah serta sambutan menggalakkan terhadap pelancaran projek baharu di wilayah Selatan, Utara, Tengah dan Melaka.
Keuntungan operasi pembungkusan melonjak 71.9%
Sementara itu, bahagian pembungkusan merekodkan hasil sebanyak RM2.61 bilion, meningkat 5.1% berbanding RM2.48 bilion pada FY2025.
Keuntungan operasi bahagian itu melonjak 71.9% kepada RM257.4 juta berbanding RM149.8 juta pada tahun sebelumnya, didorong peningkatan jumlah jualan dan harga jualan dalam segmen pembungkusan industri serta pengguna.
Kumpulan berkata margin keuntungan turut mendapat manfaat daripada pengoptimuman campuran produk dan penambahbaikan kecekapan operasi, meskipun berdepan persaingan, ketegangan geopolitik serta turun naik harga tenaga dan bahan mentah.
Sepanjang FY2026, Scientex menjual sebanyak 272,250 tan metrik produk pembungkusan dan memperkenalkan 16 mesin baharu, selain berjaya mengkomersialkan 42 inovasi produk.
Kedudukan kewangan bertambah baik
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset Scientex meningkat kepada RM8.25 bilion berbanding RM8.07 bilion pada FY2025, manakala ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat bertambah kepada RM4.51 bilion daripada RM4.12 bilion.
Kumpulan turut menjana aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM843.9 juta, manakala nisbah penggearan bersih bertambah baik kepada 0.38 kali berbanding 0.48 kali pada tahun sebelumnya.
Bagi FY2026, Scientex mengisytiharkan dividen interim sebanyak enam sen sesaham yang telah dibayar pada 17 Julai 2026, selain mencadangkan dividen akhir enam sen sesaham untuk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang.
Ini menjadikan jumlah dividen yang dicadangkan sebanyak 12 sen sesaham, bersamaan kira-kira RM186.8 juta atau 30.1% daripada untung bersih kumpulan bagi tahun kewangan berkenaan. - DagangNews.com






