Keuntungan SP Setia bergantung kepada penyelesaian jualan tanah menjelang akhir 2026 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 9:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan SP Setia bergantung kepada penyelesaian jualan tanah menjelang akhir 2026 - Penganalisis Image from: Keuntungan SP Setia bergantung kepada penyelesaian jualan tanah menjelang akhir 2026 - Penganalisis sarah12/11/2026 - 09:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Prestasi keuntungan SP Setia Berhad (SP Setia) bagi suku terakhir 2026 dijangka banyak bergantung kepada penyempurnaan urus niaga penjualan tanah yang tertangguh, ketika dua firma penyelidikan menurunkan unjuran pendapatan dan harga sasaran saham pemaju hartanah itu susulan keputusan kewangan lebih lemah daripada jangkaan.

 

BIMB Securities Research berkata, sebahagian urus niaga tanah di Setia Alaman yang tidak sempat diiktiraf pada suku ketiga dijangka menyumbang kepada pendapatan suku keempat, manakala cadangan pelupusan tanah Glengowrie kepada Mah Sing masih tertakluk kepada kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan penyempurnaan transaksi.

 

Menurutnya, pemulihan keuntungan pada suku terakhir turut bergantung kepada peningkatan tuntutan bayaran mengikut kemajuan projek, selepas kelembapan jualan domestik dan ketiadaan pengiktirafan hasil penjualan tanah menjejaskan prestasi suku ketiga.

 

MBSB Research pula berpandangan kejayaan menyempurnakan dan mengiktiraf hasil penjualan tanah di Semenyih berpotensi memberikan peningkatan ketara kepada keuntungan suku keempat, namun prospek pendapatan keseluruhan masih dibayangi kelembapan aktiviti pembinaan dan kadar cukai lebih tinggi.

 

Keuntungan sebelum cukai sembilan bulan RM391 juta

Menurut kenyataan rasmi SP Setia, kumpulan itu mencatat hasil sebanyak RM2.32 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM391 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, dengan aktiviti pembangunan hartanah menyumbang 83% kepada keseluruhan hasil.

 

Bagi suku ketiga, SP Setia merekodkan hasil RM673 juta dan jualan hartanah RM918 juta, dengan wilayah tengah dan selatan menyumbang 56% kepada jualan, manakala projek antarabangsa merangkumi 32%, terutamanya disokong pembangunan di Vietnam.

 

Jualan terkumpul sembilan bulan pula mencecah RM2.34 bilion, terdiri daripada RM1.79 bilion projek domestik dan RM431 juta pembangunan antarabangsa, ketika kumpulan meneruskan usaha mengurangkan pinjaman sebanyak RM402 juta sejak awal tahun serta memperbaiki nisbah hutang bersih kepada ekuiti kepada 0.30 kali daripada 0.35 kali setahun sebelumnya.

 

Projek luar negara sokong sasaran jualan

BIMB Securities berkata, SP Setia mengekalkan sasaran jualan RM4.6 bilion bagi 2026, dengan jualan terkumpul meningkat kepada RM2.96 bilion setakat 10 November, menjadikan baki RM1.64 bilion bergantung kepada pemuktamadan tempahan projek Vietnam, pelancaran pembangunan baharu dan penjualan tanah yang dirancang.

 

Di Australia, projek Atlas Melbourne telah mencatat jualan melebihi 60% daripada keseluruhan unit, manakala pelancaran kediaman Sapphire Tower 2 disasarkan pada Disember 2026. Di Vietnam pula, pembangunan Setia Edenia di EcoXuan, Ho Chi Minh City dijangka siap pada 2027.

 

Penganalisis turunkan harga sasaran saham

BIMB Securities menurunkan harga sasaran saham SP Setia kepada 98 sen daripada RM1.15, namun mengekalkan saranan 'beli' selepas mengambil kira ketidakpastian masa pengiktirafan hasil penjualan tanah dan cadangan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT).

 

MBSB Research pula menurunkan harga sasaran kepada 63 sen daripada 75 sen dan mengekalkan saranan 'neutral', selepas menyemak turun unjuran keuntungan teras bagi 2026, 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 35%, 20% dan 18%, berikutan jangkaan pendapatan lebih perlahan.

 

Kedua-dua firma penyelidikan turut mengambil kira penjadualan semula cadangan penyenaraian REIT SP Setia ke suku ketiga 2027 daripada suku kedua sebelum ini, yang berpotensi mengehadkan faktor peningkatan harga saham dalam tempoh terdekat, walaupun usaha pengurangan hutang dan penjualan aset dijangka terus menyokong kedudukan kewangan kumpulan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved