liza13/11/2026 - 09:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov – Penganalisis berpandangan rancangan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) oleh SP Setia Bhd masih berada di landasan untuk direalisasikan pada suku ketiga 2027 (3Q2027) dengan enam aset bernilai hampir RM2 bilion dikenal pasti bagi membentuk portfolio awal dana berkenaan.
Menurut penganalisis, meskipun penghantaran permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kini ditukar menjelang akhir 2026 berbanding Oktober seperti dirancang sebelum ini, sasaran penyenaraian pada 2027 kekal tidak berubah.
Kelewatan itu sebahagiannya disebabkan penyelarasan aset usaha sama yang dikenal pasti untuk dimasukkan ke dalam REIT serta usaha meningkatkan profil hasil sewaan portfolio berkenaan.
Penganalisis berkata portfolio awal REIT itu dijangka merangkumi enam aset dengan nilai keseluruhan sedikit kurang daripada RM2 bilion, termasuk sebuah aset di Johor yang dimiliki bersama rakan kongsi.
CIMB Research berkata saluran aset yang berpotensi untuk dimasukkan ke dalam REIT antaranya ialah sebuah sekolah antarabangsa baharu di Bandar Kinrara serta blok penginapan khas pelajar di projek pembangunan semula Carlton, Melbourne, Australia.
Aset industri tambah potensi pendapatan berulang
UOB Kay Hian Research menjangkakan aset industri berkenaan dapat meningkatkan sumbangan pendapatan berulang kepada kira-kira 10% daripada keuntungan kumpulan menjelang 2030.
Bagaimanapun, CIMB Research berpandangan tempoh untuk SP Setia merealisasikan nilai optimum aset menerusi penyenaraian REIT semakin mengecil apabila pelabur mula menilai semula jangkaan pulangan dalam persekitaran kadar faedah meningkat.
Keadaan itu boleh meningkatkan tuntutan pulangan pelabur terhadap REIT, sekali gus menjadikan profil hasil sewaan portfolio sebagai antara faktor penting dalam menentukan daya tarikan dana berkenaan apabila disenaraikan.
Pinjaman berkurang RM402 juta sejak awal tahun
Sementara itu, BIMB Research berkata usaha SP Setia mengurangkan pinjaman terus menunjukkan perkembangan positif menjelang penyenaraian REIT yang disasarkan pada 3Q2027.
Pinjaman kumpulan berkurang sebanyak RM402 juta sejak awal tahun ini, manakala nisbah gearing bersih susut kepada 0.30 kali berbanding 0.35 kali setahun sebelumnya.
Menurut firma penyelidikan itu, penyenaraian REIT menyediakan satu lagi saluran kepada kumpulan untuk merealisasikan nilai aset hartanah, dengan pelaksanaannya masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan keadaan pasaran.
Keuntungan bersih teras susut 54% pada 3QFY26
Dalam perkembangan berasingan, keputusan kewangan SP Setia bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26) tidak mencapai jangkaan penganalisis susulan prestasi lebih lemah daripada segmen pembangunan hartanah.
Keuntungan bersih teras kumpulan merosot 54% tahun ke tahun dan 66% suku ke suku kepada RM30.5 juta.
BIMB Research menyemak turun unjuran hasil bagi tahun kewangan 2026 (FY26), FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 6.8%, 7.6% dan 9.5% berikutan penukaran jualan domestik yang lebih perlahan serta andaian lebih konservatif terhadap pengiktirafan jualan tanah.
Bagaimanapun, pengurusan SP Setia mengekalkan sasaran jualan FY26 sebanyak RM4.6 bilion, dengan jualan mencapai RM2.96 bilion setakat 10 November 2026.
Pengurusan turut menjangkakan beberapa transaksi di Setia Alam yang tidak sempat diiktiraf dalam suku ketiga akan direkodkan pada suku keempat, walaupun nilai transaksi berkenaan tidak diperincikan.
Pelupusan Glengowrie kepada Mah Sing Group Bhd juga dilihat sebagai penyumbang berpotensi kepada prestasi suku keempat, tertakluk kepada kelulusan Unit Perancang Ekonomi dan penyelesaian transaksi.
Tiga firma penyelidikan semak turun unjuran keuntungan
Dari segi penilaian saham, BIMB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap SP Setia tetapi menurunkan harga sasaran kepada 98 sen.
Firma itu kekal positif terhadap prospek tanah industri kumpulan di Setia Alaman dan Setia Fontaines, disokong usaha mengurangkan pinjaman serta potensi merealisasikan nilai aset menerusi penyenaraian REIT.
CIMB Research pula menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 21%, 30% dan 28% kepada RM254 juta, RM251 juta dan RM292 juta.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran lebih rendah sebanyak 65 sen, mengambil kira prospek sektor hartanah domestik yang mencabar pada FY27.
TA Research turut mengurangkan unjuran keuntungan bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 37%, 39% dan 27% bagi mengambil kira andaian jualan lebih rendah, kemajuan tuntutan bayaran yang lebih perlahan daripada jangkaan serta margin lebih lemah.
Susulan semakan itu, firma berkenaan menurunkan harga sasaran SP Setia kepada 85 sen tetapi mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com




