Prestasi Nurul Izzah merosot, tugas berat menanti

30 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Prestasi Nurul Izzah merosot, tugas berat menanti

PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri perlu mencari jalan untuk kembali ke prestasi terbaik selepas kempen kurang memberangsangkan dalam acara keirin pada Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai, China, baru-baru ini.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, prestasi Izzah menunjukkan penurunan selepas tahap kemuncaknya merosot, sekali gus menyukarkan pelumba itu untuk memberikan saingan kepada kelompok pelumba terbaik dunia.

“Dalam saringan pertama, dia cuba membuat gerakan awal, tetapi akhirnya ada pelumba yang lebih kuat daripadanya.

“Dalam repechage pula, saringannya memang kuat kerana terdapat juara dunia dan juara Olimpik,” kata Harnizam.

Izzah gagal melepasi pusingan repechage acara keirin di Shanghai selepas berdepan barisan pencabar bertaraf dunia, sekali gus menamatkan cabarannya dalam acara itu tanpa peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Keputusan itu hadir selepas Izzah menamatkan saingan keirin Sukan Komanwel Glasgow 2026 di tempat ke-10 daripada 12 pelumba, meskipun berjaya menduduki tempat keempat acara pecut wanita pada temasya sama.

Bagaimanapun, Izzah menunjukkan prestasi lebih baik pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila meraih pingat gangsa keirin dan perak pecut berpasukan wanita bersama Anis Amira Rosidi, Nur Alyssa Farid dan Nurul Aliana Syafika Azizan yang turut mencatat rekod kebangsaan baharu 48.566 saat (s).

Pada Piala Dunia Berbasikal Trek di Nilai, April lalu, Izzah turut mencipta kejayaan apabila memecahkan rekod kebangsaan acara pecut dengan catatan 10.541s sebelum mara ke suku akhir pecut individu.

Harnizam berkata, tahap prestasi Izzah ketika Kejohanan Dunia di Shanghai tidak lagi berada pada kemuncaknya, berbanding ketika pelumba itu mencatat keputusan lebih baik dalam beberapa kejohanan terdahulu.

“Dia pun sudah tidak berada dalam prestasi terbaik kerana tahap kemuncaknya sudah menurun. Prestasinya memang sudah merosot,” katanya.

Justeru, usaha mengembalikan prestasi terbaik serta meningkatkan konsistensi bakal menjadi antara perkara penting buat Izzah untuk kembali memberi saingan beberapa kejohanan yang menjadi tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28). – UTUSAN

The post Prestasi Nurul Izzah merosot, tugas berat menanti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved