Prestasi Senheng masih lemah pada suku kedua dengan kerugian selepas cukai RM1.6 juta

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 6:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi Senheng masih lemah pada suku kedua dengan kerugian selepas cukai RM1.6 juta Image from: Prestasi Senheng masih lemah pada suku kedua dengan kerugian selepas cukai RM1.6 juta liza28/08/2026 - 18:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Senheng New Retail Berhad mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.6 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2 FY2026) berakhir 30 Jun 2026, berbanding kerugian RM1.3 juta pada suku sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kerugian selepas cukai pada suku kedua sebenarnya menunjukkan peningkatan berbanding suku pertama selepas mengambil kira manfaat insentif cukai kira-kira RM600,000 yang diterima Senheng dalam tempoh tersebut.

 

Tanpa manfaat insentif cukai itu, kerugian selepas cukai Senheng pada suku pertama dianggarkan sebanyak RM1.9 juta, berbanding RM1.6 juta pada suku kedua.

 

Hasil Senheng bagi 2QFY2026 pula berjumlah RM236.7 juta, turun daripada RM270.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya apabila pengguna terus berhati-hati dalam berbelanja terhadap barangan elektrik dan elektronik bernilai tinggi.

 

Kerugian sebelum cukai bagaimanapun mengecil kepada RM1.2 juta pada 2QFY2026 daripada RM1.5 juta pada suku pertama, disokong kawalan kos operasi yang lebih ketat.

 

Kedudukan Tunai Dan Aliran Tunai Semakin Kukuh

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, Senheng merekodkan hasil sebanyak RM487.5 juta.

 

Aliran tunai bersih yang dijana daripada aktiviti operasi meningkat 48% kepada RM46.1 juta berbanding RM31.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan aliran tunai itu membantu mengukuhkan kedudukan tunai dan baki bank kumpulan kepada RM103.9 juta setakat 30 Jun 2026, berbanding RM88.9 juta pada akhir tahun 2025.

 

Pada masa sama, jumlah pinjaman Senheng berkurangan kepada RM34 juta daripada RM36.4 juta pada akhir tahun lalu.

 

Kumpulan berkata, kedudukan tunai yang lebih kukuh dan paras pinjaman yang lebih rendah memberi fleksibiliti untuk terus melabur dalam agenda transformasi perniagaannya.

 

Fokus Tingkatkan Pembelian Berulang

Pengarah Urusan Senheng New Retail Berhad, Lim Kim Heng, berkata keputusan suku kedua menunjukkan kumpulan terus memberi tumpuan terhadap disiplin dalam menguruskan perniagaan ketika keadaan perbelanjaan pengguna masih mencabar.

 

Beliau berkata, Ekonomi Berasaskan Mata (Point-Based Economy atau PBE) merupakan transformasi kesembilan yang dilaksanakan Senheng sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1989.

 

Menurutnya, setiap proses transformasi memerlukan pelaburan dan masa sebelum sesuatu inisiatif dapat diterima pelanggan serta berkembang pada skala yang lebih besar.

 

Senheng kini memberi tumpuan untuk membina ekosistem pelanggan yang lebih kukuh dan produktif, berbanding hanya bergantung kepada promosi jangka pendek atau perang harga untuk meningkatkan jualan.

 

Melalui Ekonomi Berasaskan Mata dan S-Coin, kumpulan mahu menggalakkan pelanggan membuat pembelian secara berulang, mempercepatkan penggunaan mata ganjaran serta meningkatkan nilai pelanggan dalam jangka panjang.

 

Persaingan Dalam Talian Semakin Sengit

Lim berkata, persaingan dalam industri turut berubah apabila semakin banyak permintaan terhadap produk elektronik pengguna di Malaysia dipenuhi oleh platform dalam talian rentas sempadan yang menjual terus kepada pengguna tempatan.

 

Beliau berkata, Senheng mengalu-alukan persaingan, namun berharap semua penjual yang menawarkan produk kepada pengguna Malaysia tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sama.

 

Sebagai syarikat tempatan yang diperbadankan dan disenaraikan di Malaysia, Senheng membayar cukai dalam negara, menggaji pekerja mengikut keperluan undang-undang Malaysia serta memastikan produk yang dijual memenuhi piawaian keselamatan dan pensijilan yang ditetapkan.

 

Ini termasuk mendapatkan kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi produk yang memerlukan kelulusan tersebut.

 

Senheng berkata, kumpulan akan terus memperluaskan pelaksanaan Ekonomi Berasaskan Mata dan S-Coin pada separuh kedua FY2026 dan pada masa sama mengawal kos operasi dan modal kerja secara berhemat untuk menyokong pertumbuhan serta agenda transformasi perniagaannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved