PSP Energy pecah rekod hasil RM1.04 bilion

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 5:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PSP Energy pecah rekod hasil RM1.04 bilion

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian bahan api komersial, PSP Energy Berhad mencatatkan prestasi kewangan terbaik sejak mula beroperasi apabila merekodkan hasil RM1.04 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM23 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. 

Prestasi itu sekali gus menandakan tahun kewangan pertama kumpulan sebagai syarikat tersenarai selepas disenaraikan di Pasaran ACE pada Disember 2025.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2026, hasil kumpulan meningkat 13.1 peratus secara suku ke suku kepada RM316.2 juta berbanding RM279.6 juta pada suku sebelumnya.

Peningkatan itu didorong terutama oleh segmen pengedaran produk bahan api yang menyumbang RM200.7 juta, meningkat RM38.1 juta atau 23.4 peratus berbanding suku ketiga, disokong pesanan lebih kukuh dalam subsegmen bunker.

Walaupun berdepan ketidaktentuan harga bahan api serta persaingan sengit sepanjang suku berkenaan, PSP Energy berjaya mencatatkan keuntungan kasar RM18.4 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM11.4 juta.

PBT itu meningkat 18.1 peratus secara suku ke suku, manakala PAT melonjak 33.5 peratus kepada RM9.3 juta daripada RM7 juta pada suku sebelumnya.

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, kumpulan merekodkan keuntungan kasar RM57.5 juta dan PBT RM30.6 juta, manakala PAT mencapai RM23 juta.

Prestasi itu dicapai meskipun kumpulan mengiktiraf perbelanjaan penyenaraian tidak berulang sebanyak RM1.4 juta berkaitan penyenaraian di Pasaran ACE.

PSP Energy terus memberi tumpuan kepada pulangan kepada pemegang saham apabila mengisytiharkan dan membayar dividen interim berjumlah RM3.2 juta sepanjang tahun kewangan 2026.

Jumlah itu merangkumi dividen interim pertama sebanyak 0.20 sen sesaham biasa dan dividen interim kedua sebanyak 0.10 sen sesaham biasa.

Pengarah Urusan PSP Energy Berhad, Ong Chee Seng berkata, pencapaian hasil melebihi RM1 bilion merupakan pencapaian penting bagi kumpulan, khususnya pada tahun pertama sebagai syarikat tersenarai.

“Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan berterusan merentasi operasi perdagangan, pengedaran dan bunker bahan api teras kami, disokong keupayaan merebut peluang di sepanjang rantaian bekalan bahan api penting serta dasar kerajaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kumpulan akan terus memperkukuh keupayaan operasi dan mengembangkan kehadiran pasaran menerusi beberapa inisiatif strategik.

Antaranya termasuk permulaan operasi di kemudahan penyimpanan Tanjung Bruas, pemerolehan kapal bunker tambahan serta pelantikan PSP Lubricants sebagai pengedar sah produk pelincir Sinopec.

Sepanjang tahun kewangan 2026, PSP Energy memulakan operasi kemudahan bunker dan penyimpanan di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka pada April lalu.

Kemudahan itu meningkatkan kapasiti penyimpanan tidak bergerak kumpulan sebanyak lima kali ganda kepada 7.5 megaliter daripada 1.5 megaliter sebelum ini.-UTUSAN 

 

The post PSP Energy pecah rekod hasil RM1.04 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved