KUALA LUMPUR – Pengundi Cina diminta supaya tidak memberikan sokongan kepada 15 calon Parti Bersama yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana dikhuatiri hanya akan memecahkan undi kepada Pakatan Harapan (PH).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau, Jalex Lee En Xiang berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, Parti Bersama dilihat memberi tumpuan untuk meraih sokongan pengundi Cina dengan mengetengahkan pelbagai isu yang berkaitan masyarakat berkenaan.
Beliau yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis berkata, berbeza dengan pendekatan Parti Bersama, matlamat utama PH adalah membentuk kerajaan negeri yang mampu membawa manfaat kepada seluruh rakyat Johor selaras dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita dapat melihat Parti Bersama cuba menarik sokongan pengundi Cina apabila banyak kenyataan yang dikeluarkan tertumpu kepada isu-isu masyarakat Cina.
“Sebaliknya, objektif PH adalah untuk membentuk kerajaan negeri yang dapat memberikan manfaat terbaik kepada seluruh rakyat Johor.
"Apabila kerajaan negeri sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan agenda pembangunan juga dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Syaza Shukri berpandangan bahawa penyertaan Parti Bersama dalam PRN Johor berpotensi memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) sekiranya berjaya menarik sokongan pengundi progresif dan memecahkan undi bukan Melayu, terutama di kawasan campuran.
Mengulas lanjut, Jalex berkata, jentera PH akan bekerja keras bagi memastikan gabungan itu memperoleh kemenangan sebanyak mungkin kerusi pada PRN Johor.
Menurutnya, kemenangan tersebut penting bagi membolehkan sebuah kerajaan negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan dibentuk demi mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Kita berharap kerajaan negeri yang dibentuk nanti dapat bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Johor,” katanya.






