JOHOR BAHRU – Polis Johor membuka lapan kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya sepanjang enam hari tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang bermula pada 27 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka bagi tempoh antara 29 Jun hingga Khamis.
"Satu kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, manakala dua lagi kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
"Selain itu, terdapat dua kes lagi disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian harta benda.
"Secara keseluruhan, situasi keselamatan di seluruh negeri sepanjang proses pilihan raya ini berlangsung berada dalam keadaan aman dan terkawal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, Polis Johor turut menerima sebanyak 2,037 permohonan permit secara kumulatif bagi penganjuran aktiviti dan program kempen sepanjang tempoh 27 Jun hingga Khamis.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,849 permohonan telah diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Polis Johor akan terus memantau situasi keselamatan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan proses PRN Johor Ke-16 berlangsung dengan aman, lancar dan mematuhi undang-undang," katanya.




