SPR terima 305 aduan kesalahan kempen PRN Johor

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 10:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPR terima 305 aduan kesalahan kempen PRN Johor
SPR menerima sebanyak 305 laporan dan aduan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen bagi PRN Johor ke-16. - FOTO: Bernama

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 305 laporan dan aduan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 setakat Khamis. 

SPR dalam kenyataan pada Jumaat malam memaklumkan daripada jumlah itu, 140 kes melibatkan bahan kempen yang dipasang di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan manakala 90 kes membabitkan bahan kempen menghalang pandangan pengguna jalan raya dan lalu lintas.

Kenyataan itu memaklumkan sebanyak 27 kes melibatkan bahan kempen yang berada dalam lingkungan 50 meter dari pusat mengundi manakala bakinya iaitu 48 kes merangkumi pelbagai kesalahan lain.

"Semua laporan dan aduan yang diterima di bawah bidang kuasa Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah diambil tindakan susulan yang sewajarnya," menurut kenyataan itu.

SPR turut memaklumkan bahawa sebanyak 56 PP-KPR ditubuh bagi menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada hari penamaan calon iaitu 27 Jun lepas hingga 10 Julai depan.

Menurut kenyataan itu, SPR sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan aktiviti berkempen berjalan dalam keadaan baik dan terkawal.

Sehubungan itu, SPR menyeru semua calon dan parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika serta arahan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya berkenaan dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan proses kempen berjalan lancar.

Suruhajaya itu turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan pilihan raya yang cekap, adil, telus dan berintegriti termasuk sepanjang tempoh berkempen yang akan berakhir pada 11.59 malam 10 Julai ini.

PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan hari pengundian ditetapkan 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved