
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan pada Sabtu.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi satu kenyataan akhbar pada jam 10.30 malam Jumaat.
Kenyataan itu memaklumkan, rakyat Kedah akan diberikan cuti rehat (peristiwa) selepas selesai hari mengundi pada Sabtu sekiranya PN terus diberikan mandat menerajui Kedah.
Tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula pada hari penamaan calon, 29 Julai akan tamat pada jam 11.59 malam Jumaat.
Ini bermakna selepas tempoh itu, segala aktiviti merayu undi tidak dibenarkan terutamanya ketika hari pengundian pada Sabtu, di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Komposisi DUN Kedah sebelum dibubarkan menyaksikan PN menguasai 21 kerusi DUN dengan 15 kerusi milik Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak enam kerusi.
PH pula beroleh 11 kerusi menerusi PKR (lima), Parti Amanah Negara (empat), serta DAP (dua).
BN pula memiliki dua kerusi yang kini bergabung bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memiliki dua kerusi, namun tidak menyertai PRN kali ini.
Terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah dengan sejumlah 104,284 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.
