PRN Melaka: 79 Calon Bertanding Rebut 28 Kerusi DUN 

LocalPolitics
31 Oct 2026 • 1:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: 79 Calon Bertanding Rebut 28 Kerusi DUN 

MELAKA - Seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik bakal bersaing merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata proses penamaan calon di 28 pusat penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Daripada jumlah keseluruhan calon, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 24 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Bersama (16), Bersatu (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (seorang) serta tiga calon Bebas.

Menurut beliau, sebanyak 11 kerusi menyaksikan pertandingan dua dan tiga penjuru, manakala enam kerusi lagi menyaksikan persaingan empat penjuru.

“Daripada keseluruhan calon yang bertanding, 65 adalah lelaki manakala 14 lagi wanita.

“Mengikut pecahan umur, dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 14 calon (30 hingga 39 tahun), 33 calon (40 hingga 49 tahun), 22 calon (50 hingga 59 tahun) dan lapan calon berusia 60 tahun ke atas,” katanya. 

Ramlan berkata, calon termuda berusia 24 tahun, manakala calon paling berusia ialah 66 tahun, dengan kedua-duanya merupakan wakil  PH.

“Serentak dengan penamaan calon, tempoh berkempen turut bermula sehingga jam 11.59 malam, 13 November ini, dengan 28 pasukan SPR ditugaskan memantau aktiviti sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuka bilik gerakan operasi selama 24 jam sehingga 14 November ini di pejabat SPRM Melaka.

Sementara itu, Pusat Media akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam di Hotel Mudzaffar, MITC, Ayer Keroh.

Seramai 687,697 pemilih layak menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 10 November. - Getaran, 31 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved