
KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) mahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang dimenangi sebelum ini kekal menjadi milik mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad bagaimanapun berkata, rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) belum bermula kerana tiada perkembangan jelas ke arah pembubaran DUN.
Katanya, pembahagian kerusi lazimnya dimulakan apabila terdapat perkembangan atau langkah ke arah pembubaran DUN.
“Biasanya perkara ini berlaku apabila kita nampak ada gerakan untuk membubarkan DUN. Sekarang ini ia masih disebut-sebut tetapi belum ada tindakan.
“Dalam kalangan kita juga tengah berbincang dan akhirnya akan diadakan perbincangan antara pimpinan PH Melaka untuk menentukan jumlah kerusi yang akan diagihkan,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 & Jasamu Dikenang Tahun 2026, di sini hari ini.
Khalid berkata, kekuatan calon dan kesesuaian kawasan turut diambil kira dalam proses rundingan tersebut.
“Bagi kerusi yang kita bertanding tetapi tidak menang, mungkin berlaku pertukaran. Namun, ia bergantung kepada calon yang hendak diketengahkan serta kawasan yang mereka berminat untuk bertanding,” ujarnya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Amanah mahu kekal kerusi Bukit Katil appeared first on Utusan Malaysia.





