PRN Melaka: Asyraf Wajdi sahkan rundingan UMNO-Pas berjalan positif

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 6:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Asyraf Wajdi sahkan rundingan UMNO-Pas berjalan positif
Asyraf Wajdi (kiri) dan Akmal Saleh

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan rundingan dan perbincangan dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang berjalan.

Menurut beliau, proses rundingan termasuk penggunaan logo juga berlangsung positif antara kedua-dua belah pihak.

"Ya, perundingan dan perbincangan dengan Pas sudah dan sedang berjalan. Amat positif, Alhamdulillah," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menerusi hantaran itu, Asyraf Wajdi turut berkongsi pautan berita Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedia mempertimbangkan penggunaan logo Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka.

Ahli Parlimen Marang yang ditemui selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, Terengganu pada Jumaat itu turut menegaskan, rundingan termasuk penggunaan lambang dan kerjasama dengan BN masih diteruskan, manakala partinya sedia menimbangkan sama ada menggunakan lambang sendiri atau BN, bergantung kepada hasil rundingan.

Ia susulan ada 23 September lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) diterajui Pas digantung mengikut Subseksyen 13 (2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), berkuat kuasa serta-merta susulan notis dikeluarkan pada 22 September lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut memberi respons positif terhadap kenyataan terbaharu Abdul Hadi.

Menurutnya, perkembangan itu diyakini mampu memperkukuhkan lagi usaha perpaduan ummah.

"Alhamdulilah..Kami menyambut baik dengan cadangan dan usaha ini. Mereka boleh halang dengan menggunakan kuasa yang mereka ada,tetapi Allah balas dengan perkara yang jauh lebih baik.

"Moga ini dapat lagi memperkukuhkan perpaduan ummah ini dan Melaka akan menjadi saksi Insya-ALLAH," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved