PRN Melaka: MCA umum tanding satu lagi kerusi di Kota Laksamana

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 6:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: MCA umum tanding satu lagi kerusi di Kota Laksamana
Wee Ka Siong

MELAKA - MCA mengumumkan akan bertanding di satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, iaitu di Kota Laksamana selepas kerusi itu diserahkan semula kepada Barisan Nasional (BN) oleh Perikatan Nasional (PN).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Melvin Chua akan dipertaruhkan sebagai calon dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara BN dan PN, susulan pandangan PN bahawa MCA lebih sesuai bertanding di kawasan berkenaan.

"Keputusan ini baru dibuat dan dipersetujui hari ini oleh kepimpinan tertinggi parti untuk menyerahkan semula kerusi tersebut kepada calon MCA mewakili BN bertanding di kerusi DUN Kota Laksamana, selepas mengambil kira kesesuaiannya berdasarkan penglibatan dan khidmat beliau di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media ketika melawat Bilik Gerakan MCA DUN Bandar Hilir di Melaka Raya di sini pada Jumaat.

Mengenai bakal calon berkenaan, Ka Siong berkata, Melvin bukanlah nama asing dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya menerusi penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan dan perkhidmatannya dalam kawasan pentadbiran di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Pertambahan kerusi Kota Laksamana bermakna MCA bakal bertanding di empat kerusi termasuk DUN Machap Jaya, Kelebang dan Bandar Hilir

Ka Siong berkata, perkembangan terbaharu itu tidak menjejaskan persiapan MCA walaupun keputusan dibuat pada saat akhir sebelum hari penamaan calon kerana parti berkenaan telah lama bersiap siaga, khususnya di kawasan tradisi yang ditandinginya.

MCA sebagai parti komponen BN bersedia menghadapi apa jua cabaran dan tidak mempunyai masalah untuk meletakkan calon di kerusi yang memerlukan parti itu bertanding.

"Kita tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Dalam mana-mana kerusi yang memerlukan MCA bertanding, kita tidak ada masalah. Kita tidak gentar, kita berdepan dengan apa jua situasinya.

"MCA akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat dan memberikan saingan di kawasan yang ditandinginya, termasuk kerusi yang dianggap sukar untuk dimenangi dalam PRN Melaka,” katanya.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRN Melaka, hari pengundian pada 14 November manakala 10 November bagi pengundian awal. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved