
PONTIAN – Barisan Nasional (BN) Johor akan menghantar seramai 202 petugas bagi membantu jentera BN Melaka menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan.
Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, petugas berkenaan terdiri daripada jentera pilihan raya UMNO bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, MCA, MIC, Friends Of serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor.
“UMNO Johor mengadakan penyelarasan awal bersama UMNO Bahagian Jasin pada 26 September lalu, manakala MCA dan MIC Johor turut menyelaras gerak kerja dengan bahagian masing-masing di Jasin.
“Perjumpaan khas antara BN Johor dengan jentera BN Jasin dijangka diadakan pada 30 Oktober ini bagi memperkemas persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (MJTP) Pontian di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Pontian di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah beberapa kali turun padang ke Melaka bagi bertemu jentera di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim dan Serkam serta Sungai Rambai yang berada di bawah UMNO Bahagian Jasin.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room Pusat meminta jentera pilihan raya dari negeri-negeri yang ditugaskan membantu BN Melaka supaya segera turun padang dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil mudah persaingan dalam pilihan raya itu atau terlalu yakin dengan kekuatan jentera sedia ada. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: BN Johor hantar 202 petugas bantu kempen appeared first on Kosmo Online.





