PRN Melaka: BN tidak berunding melalui media sosial

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 1:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Melaka: BN tidak berunding melalui media sosial

MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka tidak akan mengadakan sebarang rundingan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi media sosial sebaliknya semua perkara berkaitan akan diputuskan melalui perbincangan rasmi di peringkat parti.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, BN Melaka akan mengeluarkan surat rasmi kepada semua parti yang berminat bagi membentangkan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan sebelum perkara itu dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk diputuskan.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, setakat ini pihaknya menghormati semua parti yang menunjukkan minat untuk bersama-sama BN, namun sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas proses perbincangan rasmi nanti.

“Tak perlu kita berunding dalam media sosial. Kita akan keluarkan surat rasmi kepada semua parti untuk membentangkan bagaimana untuk menjadi rakan strategik yang terbaik dan kita akan bentang kepada semua peringkat untuk kita buat keputusan.

“Setakat hari ini, saya amat menghormati semua parti yang berminat untuk bersama-sama dengan kami, tetapi apa juga sekali pun, perbincangan ini tertakluk kepada perbincangan rasmi yang kita akan lakukan di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)  nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan  Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang turut dihadiri  Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup di sini, hari ini.

Ab. Rauf mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari malam tadi yang meminta BN negeri berterus terang berhubung kemungkinan kerjasama dengan parti-parti lain menjelang PRN Melaka.

Amirudin berkata, PH tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya BN tidak berminat untuk bekerjasama namun meminta pendirian itu dimaklumkan supaya PH dapat meneruskan persiapan menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.

Mengulas lanjut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu juga berkata, BN tidak mahu rundingan berkaitan kerjasama politik dilakukan secara terbuka menerusi platform media sosial kerana ia boleh menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan rakyat.

“Jangan berunding dalam media sosial, nanti rakyat ada different perception dan kami ini tidak menutup pintu serapat-rapatnya dan kami juga tidak membuka pintu seluas-luasnya untuk perundingan,” katanya lagi. – UTUSAN

The post PRN Melaka: BN tidak berunding melalui media sosial appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved