PH tiada rundingan dengan BN, sedia semua senario hadapi PRN Melaka

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 10:59 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PH tiada rundingan dengan BN, sedia semua senario hadapi PRN Melaka

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara solo sekiranya tiada persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) dicapai sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini belum ada rundingan dengan BN berhubung kerjasama menghadapi PRN berkenaan, walaupun hubungan antara kedua-dua pihak telah terjalin.

Menurutnya, PH turut menyediakan beberapa senario termasuk kemungkinan membentuk jajaran politik baharu atau mengadakan persefahaman pilihan raya dengan parti tertentu.

“Tak ada masalah. Kita sediakan semua senario, termasuk bertanding secara solo ataupun ada gabungan dengan jajaran yang baharu termasuk kerjasama dengan BN pada awalnya.

“Tapi nampak gayanya ia tidak berlaku pertemuan itu walaupun ada hubungan yang telah kita buat. Kita serahlah. Kalau tak ada juga sampai bubar, kita rasa kita teruskan untuk bergerak solo atau ada jajaran baharu,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Masjid Tanah di Lendu, di sini, malam tadi.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, sebarang bentuk kerjasama politik perlu mengambil kira perkembangan semasa dan tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa berikutan tempoh sebelum pilihan raya semakin singkat.

Katanya, keputusan akhir mengenai sebarang bentuk kerjasama perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk pertimbangan.

“Arahannya cukup jelas untuk kita teruskan persediaan, lancarkan jentera, kuatkan pasukan dan pastikan tempat-tempat yang kita nak tanding,” katanya.

Menurutnya, PH ketika ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera pilihan raya di kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi tanpa menunggu keputusan mengenai kemungkinan kerjasama dengan parti lain.

Beliau berkata, dalam tempoh singkat yang ada, bentuk kerjasama lebih praktikal adalah melalui persefahaman politik atau persefahaman pilihan raya berbanding membentuk gabungan baharu.

“Saya rasa bukan gabungan lagi, ia mungkin persefahaman politik, persefahaman pilihan raya. Pada waktu yang singkat ini, untuk membina satu gabungan terlalu pendek untuk menjadi satu gabungan.

“Tapi kalau menjadi persefahaman pilihan raya, masih boleh dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, pimpinan pusat memberi ruang kepada PH negeri untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum butiran kerjasama dibawa ke peringkat pusat.

Katanya, PH akan menilai sebarang cadangan berdasarkan kesesuaian dan keperluan semasa sebelum keputusan dibuat. – UTUSAN

The post PH tiada rundingan dengan BN, sedia semua senario hadapi PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved