BN tak tutup pintu kerjasama, tapi jangan runding dalam media sosial – Ab Rauf jawab Amirudin

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 3:42 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa sebarang rundingan berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dibuat menerusi saluran rasmi dan bukannya melalui media sosial.

Image from: BN tak tutup pintu kerjasama, tapi jangan runding dalam media sosial – Ab Rauf jawab Amirudin

Foto: TVS

Memetik laporan MalaysiaGazette, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, pihaknya akan mengemukakan surat rasmi kepada parti-parti yang berminat untuk menjadi rakan strategik BN bagi menghadapi PRN berkenaan.

Menurut beliau, setiap cadangan berkaitan kerjasama itu kemudiannya akan dibawa ke peringkat yang berkaitan untuk pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya jawab secara ringkas sajalah. Tak perlu kita berunding dalam media sosial.
“Kita akan keluarkan surat rasmi kepada semua parti untuk membentangkan bagaimana untuk menjadi rakan strategik yang terbaik, dan kita akan bentang kepada semua peringkat untuk kita buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan di Melaka, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Ab Rauf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor semalam.

Image from: BN tak tutup pintu kerjasama, tapi jangan runding dalam media sosial – Ab Rauf jawab Amirudin

Amirudin sebelum ini meminta BN menyatakan pendirian berhubung kemungkinan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka, termasuk sekiranya parti itu tidak berminat untuk bekerjasama.

Menurut Amirudin, PH tidak mempunyai masalah sekiranya BN memilih untuk tidak bekerjasama, namun pendirian tersebut perlu dinyatakan supaya PH dapat meneruskan persiapan menghadapi PRN Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Mengulas perkara itu, Ab Rauf berkata BN tetap menghormati semua parti yang menunjukkan minat untuk bekerjasama, namun sebarang perbincangan mengenainya perlu dibuat secara rasmi.

“Setakat hari ini, saya amat menghormati kepada semua parti yang berminat untuk bersama-sama dengan kita, tetapi apa juga sekalipun, perbincangan ini tertakluk kepada perbincangan rasmi yang kita akan lakukan di WTC nanti.
“Jadi jangan runding dalam media sosial, nanti rakyat ada ‘different perception’ (persepsi berbeza),” jelasnya.

Artikel lain: Amirudin gesa BN jelaskan pendirian kerjasama PRN Melaka – “Jika tak minat, beritahu saja”

Dalam pada itu, Ab Rauf menjelaskan BN tidak menutup peluang untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak, namun proses tersebut perlu melalui saluran dan mekanisme yang ditetapkan.

“Kita ini tidak menutup pintu serapat-rapatnya dan kita juga tak membuka pintu seluas-luasnya untuk perundingan,” tambahnya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette (Reza A Hamid)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved