
SHAH ALAM, 30 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menambah tiga calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menjadikan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi gabungan itu meningkat kepada 24.
Daripada jumlah itu, dua calon tambahan mewakili Parti Amanah Negara (Amanah), iaitu Aminuddin Abdul Jalil di DUN Sungai Rambai dan Junainah Sahat di DUN Taboh Naning.
Perkara itu disahkan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Aminuddin merupakan Ketua Cawangan Amanah Jasin, manakala Junainah ialah Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Masjid Tanah.
Sementara itu, satu lagi kerusi tambahan menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menampilkan Mej (B) Jaimi Dimon sebagai calon di DUN Ayer Limau, menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Fuziah Salleh.
Dengan perkembangan itu, Amanah dan DAP masing-masing bertanding di tujuh kerusi, manakala KEADILAN meletakkan calon di 10 kerusi.

Pada 24 Oktober lalu, HARAPAN mengumumkan 21 calon untuk bertanding pada PRN Melaka dalam Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya di pekarangan Stadium Hang Jebat.
Pada PRN Melaka 2021, HARAPAN memenangi lima daripada 28 kerusi DUN, dengan DAP memperoleh empat kerusi dan Amanah satu kerusi, manakala KEADILAN gagal memenangi sebarang kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.






