
MELAKA: Sebanyak 189 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 telah dibeli bakal calon setakat malam tadi dengan 45 daripadanya sudah membuat pembayaran deposit bagi mengesahkan kesediaan mereka bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semua bakal calon dinasihatkan hadir lebih awal ke pusat penamaan masing-masing esok bagi membolehkan semakan dokumen dilakukan dengan teliti sebelum proses penamaan bermula.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan borang atau dokumen yang boleh menyebabkan calon gagal memenuhi syarat untuk bertanding.
“Berdasarkan maklumat yang kita ada sehingga malam semalam, sebanyak 189 borang telah dibeli oleh bakal calon dan daripada jumlah itu, 45 orang telah membuat bayaran deposit.
“Mereka yang sudah buat bayaran deposit pastinya mereka akan hadir ke pusat penamaan calon esok untuk bertanding di PRN Melaka.
“Justeru saya menyeru semua bakal calon supaya hadir awal bagi memberi ruang kepada pihak kami membuat semakan secara lebih terperinci. Kita tidak mahu ada masalah yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Stadium Hang Jebat di sini hari ini.
Beliau turut menyaksikan simulasi bermula daripada kehadiran calon mengisi borang dan menyerahkannya kepada petugas SPR yang bertugas di kawasan tersebut.
Esok merupakan hari penamaan calon bagi PRN Melaka yang menyaksikan sebanyak 28 pusat penamaan calon dibuka serentak di seluruh negeri bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi.
Ramlan berkata, SPR telah membuat persiapan rapi bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung lancar, teratur dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, semua pegawai pengurus pilihan raya (RO), penolong pegawai pengurus serta pegawai yang terlibat telah diberikan latihan mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, persiapan bagi kesemua 28 pusat penamaan calon juga berjalan lancar dan pihaknya yakin semua lokasi berkenaan bersedia menerima bakal calon yang akan mengemukakan borang penamaan esok.
“Semua RO kita telah mendapat latihan, termasuk pegawai-pegawai yang membantu mereka. Persediaan ini bukan dilakukan dalam tempoh singkat, sebaliknya proses latihan telah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.
“Kita yakin semua pegawai yang ditugaskan mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Ramlan turut mengingatkan penyokong parti politik yang hadir esok supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan tertib.
Katanya, semua pihak perlu memberikan kerjasama kepada petugas keselamatan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang gangguan terhadap kelancaran proses berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan mengambil maklum kemungkinan penutupan atau perubahan laluan jalan raya di sekitar pusat penamaan calon bagi melancarkan pergerakan kenderaan dan mengelakkan kesesakan.
Mengenai keadaan cuaca, beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca esok dijangka baik. – UTUSAN
The post PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 bayar deposit appeared first on Utusan Malaysia.





