PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 11:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
Ramlan (tiga dari kanan) melihat simulasi persiapan bagi urusan penamaan calon ketika meninjau persiapan pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-16 di PPC Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat hari ini. Foto: Bernama

MELAKA - Sebanyak 189 borang penamaan calon sudah dibeli bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat malam tadi, dengan 45 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata, bagi proses penamaan calon esok, sebanyak 28 pusat penamaan calon akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

"Bagi kelancaran proses, SPR menyeru semua bakal calon supaya hadir lebih awal bagi membolehkan petugas SPR membuat semakan dokumen dengan teliti sekali gus mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.

"Kita (SPR) tidak mahu ada masalah yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding atau sebagainya. Kita cuba elakkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau simulasi penamaan calon di Dewan Ballroom, Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini hari ini.

Ramlan berkata, semua pegawai pengurus pilihan raya (RO) dan petugas di kesemua 28 pusat penamaan calon telah diberikan latihan secukupnya bersedia sepenuhnya melaksanakan tugas.

Beliau berkata, kesemua 28 RO itu akan dibantu 80 penolong pegawai pengurus serta pegawai lain bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

"Melihat simulasi yang diadakan di Paya Rumput, saya percaya proses penamaan calon esok akan dapat dilaksanakan dengan baik, termasuk oleh RO yang pertama kali dilantik untuk mengendalikan urusan penamaan calon,” jelasnya.

Ramlan turut mengingatkan penyokong parti-parti bertanding yang hadir esok supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan peraturan ditetapkan bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman serta tertib.

"Orang ramai juga diminta mengambil maklum kemungkinan penutupan jalan di sekitar pusat penamaan calon bagi melancarkan pergerakan dan mengelakkan kesesakan pada hari berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca esok dijangka baik dan berharap proses penamaan calon dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved