PRN Melaka: HARAPAN umum calon 24 Oktober ini – Amirudin

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 7:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PRN Melaka: HARAPAN umum calon 24 Oktober ini – Amirudin

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 24 Oktober ini, kata Pengarah Pilihan Raya gabungan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata keputusan berhubung senarai calon akan dibuat bersama presiden dan kepimpinan tertinggi HARAPAN sebelum tarikh pengumuman.

“Sebelum 24 Oktober, saya akan membuat keputusan (mengenai senarai calon) bersama presiden dan kepimpinan tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor (AiSEM), yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Amirudin, HARAPAN sudah mengenal pasti calon berpotensi daripada pelbagai latar belakang sejak 2024 dan beliau yakin mereka mampu bersaing dalam PRN berkenaan.

“Ada yang muda, ada yang berusia, ada yang berjaya dan ada yang berpengalaman, tetapi mereka semua layak dipilih,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan persiapan HARAPAN menghadapi PRN Melaka berjalan lancar, dengan pembahagian kerusi antara parti komponennya sudah dimuktamadkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Melaka ke-16, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved