
MELAKA: Jentera Perikatan Nasional (PN) perlu bekerja lebih tersusun, penuh disiplin dan menggunakan strategi berkesan bagi mendapatkan kepercayaan rakyat Melaka sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tempoh yang berbaki sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan seluruh jentera parti berada dalam keadaan siap siaga.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, PRN Melaka dijangka berlangsung dalam tempoh tidak sampai dua bulan lagi.
“Saya kira tidak lebih daripada dua bulan sehingga tarikh pilihan raya. Masa yang sangat penting untuk kita terus bekerja daripada sekarang.
“Kita ada 60 hari. Jangan lihat 60 hari ini sebagai tempoh panjang, sebaliknya 60 hari inilah yang akan menentukan bentuk kerajaan yang akan mengurus Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ahmad Samsuri berkata, PN perlu tampil sebagai pasukan yang benar-benar bersedia untuk memerintah den gan mengetengahkan calon berwibawa, berintegriti dan mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, jentera parti juga tidak harus terperangkap dengan retorik politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.
“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar slogan dan laungan politik. Mereka mahu tahu bentuk penyelesaian yang kita tawarkan bagi menangani masalah mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera PN supaya tidak menganggap mana-mana kawasan sebagai sukar dimenangi.
Katanya, setiap kawasan perlu terus diusahakan dengan bertanya apa lagi yang boleh dilakukan bagi meyakinkan pengundi.
“Kalau jentera kita bergerak dengan penuh disiplin, strategi dan kesungguhan, keadaan politik di negeri Melaka ini boleh berubah dengan cepat,” katanya.- UTUSAN
The post PRN Melaka: Jentera PN perlu dapatkan kepercayaan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.






