
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin pengundi Melaka akan melakukan perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, meskipun wujud tanggapan bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi pilihan rakyat negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keyakinan itu bersandarkan pengalaman pentadbiran serta rekod pencapaian gabungan berkenaan di pelbagai peringkat untuk meraih kepercayaan rakyat Melaka.
Katanya, keputusan pilihan raya terdahulu menunjukkan pengundi negeri itu mempunyai kebijaksanaan menilai pilihan yang ada dan mampu membawa perubahan besar kepada pentadbiran Melaka.
“Walau ada orang kata, buatlah Jualan Rahmah 1,000 kali, buatlah apa pun, datanglah Perdana Menteri macam mana pun, mereka kata yakin mereka akan tetap undi BN.
“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya PH Nasional mempunyai keyakinan bahawa Melaka boleh lakukan perubahan dengan mengundi PH dalam pilihan raya ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera PRN Melaka PH di pekarangan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka malam ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, PH pernah membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan Adly Zahari dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.
Bagaimanapun, katanya, perubahan politik susulan Langkah Sheraton menyebabkan pertukaran kerajaan negeri sebelum BN kembali menguasai pentadbiran Melaka selepas PRN pada 2021.
Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 pula memperlihatkan perubahan ketara apabila PH memenangi tiga kerusi Parlimen di Melaka, meskipun BN meraih kemenangan besar pada PRN sebelumnya.
“Ramai dulu yang kata Melaka ini kalau cakap apa pun, dia tidak akan berubah. Melaka ini, kalau buat apa pun, dia tetap nak undi BN.
“Tetapi selepas 2018, rakyat Melaka mempunyai kebijaksanaannya. Kebijaksanaan dalam membuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, PH mahu setiap lapisan masyarakat mempunyai tempat dalam hala tuju pembangunan negeri supaya Melaka tidak hanya memenuhi kepentingan kelompok tertentu.
“Apa yang nak dibawa oleh PH ialah pastikan Melaka ini rumah untuk seluruh rakyat negeri Melaka,” katanya. – UTUSAN
The post PRN Melaka: PH yakin mampu ubah pilihan pengundi appeared first on Utusan Malaysia.






