KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) mengekalkan sasaran untuk bertanding di 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun tidak menolak kemungkinan wujud perubahan terhadap pembahagian berkenaan.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu akan memberi tumpuan kepada kerusi yang telah diumumkan sebelum ini, manakala sebarang perubahan akan diputuskan dan diumumkan oleh kepimpinan parti.
“Setakat ini, kita telah mengumumkan 21 kerusi. Sekiranya terdapat sebarang perubahan, kita serahkan kepada pihak kepimpinan untuk membuat pengumuman,” katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di IWK Eco Park@Pantai Dalam, malam tadi.
Beliau berkata, PH akan menilai keupayaannya untuk bertanding berdasarkan kekuatan dan kapasiti gabungan itu sendiri, selain mengambil kira faktor strategik serta taktikal.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai kemungkinan PH memperoleh tambahan tiga kerusi, dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka menerima satu kerusi tambahan, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) memperoleh dua lagi kerusi.
Sekiranya cadangan itu dimuktamadkan, jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada PH akan meningkat kepada 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Menurut Fahmi, parti-parti lain dijangka mengumumkan calon masing-masing esok.
“Sehubungan itu, PH akan membuat penilaian tersendiri berdasarkan kemampuan gabungan berkenaan untuk bertanding di kerusi yang ditawarkan,” katanya.
Bagaimanapun, PH setakat ini belum mengesahkan sebarang perubahan terhadap pembahagian 21 kerusi yang diumumkan sebelum ini. - Getaran, 29 Oktober 2026






