Dua kerusi MCA tidak selari komposisi pengundi Cina

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 10:47 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua kerusi MCA tidak selari komposisi pengundi Cina

PETALING JAYA: Jumlah dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan oleh Barisan Nasional (BN) kepada MCA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak selari dengan komposisi etnik pengundi Cina di negeri itu.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim berkata, secara umumnya komposisi pengundi etnik Cina di Melaka adalah sekitar 30 peratus dan MCA adalah parti yang mewakili segmen pengundi Cina dalam BN.

“Dibenarkan bertanding hanya dua kerusi iaitu hanya tujuh peratus daripada keseluruhan 28 kerusi, atau hanya sembilan peratus daripada 21 kerusi yang ditandingi BN mungkin dianggap kecil dan tidak munasabah oleh MCA.

“Apatah lagi lawan utama mereka iaitu DAP diberi sehingga tujuh kerusi oleh PH untuk ditandingi, bahkan PKR juga menamakan calon etnik Cina mereka,” kataya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.

Semalam, pemimpin MCA bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN untuk PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka selepas tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan berkaitan pengagihan kerusi.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerusi yang pernah ditandingi parti itu telah diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, meskipun MCA merupakan parti komponen BN sejak sekian lama.

Mohd Yusri malah mempersoalkan tindakan UMNO yang tidak memberikan kerusi disandang mereka kepada Pas, sebaliknya menyerahkan kerusi tradisi MCA kepada Pas.

Jelasnya, berdasarkan momentum PRN Johor dan Negeri Sembilan, peluang untuk menawan kerusi-kerusi yang disandang DAP lebih besar jika ditandingi oleh MCA berbanding ditandingi oleh rakan strategik Pas, iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“MCA yang hanya diberi dua kerusi akan membantutkan sokongan terhadap parti itu yang sedang berkembang. Keputusan BN itu merugikan MCA.

“Dalam dua PRN terakhir, sokongan terhadap MCA semakin baik. Contohnya, MCA berjaya merampas kerusi DAP di Jementah, Tangkak dan Johor Jaya dalam PRN Johor. Begitu juga dalam PRN Negeri Sembilan, MCA berjaya merampas kerusi DAP di DUN Chenah dan Repah,” katanya. – UTUSAN

The post Dua kerusi MCA tidak selari komposisi pengundi Cina appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved