PRN Melaka: PKR Tanding 9 Kerusi

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 8:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: PKR Tanding 9 Kerusi

MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir memuktamadkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan parti itu bakal bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, senarai calon parti itu akan diumumkan bersama barisan calon Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober ini.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan dijadual berlangsung pada jam 8 malam di kawasan parkir Stadium Hang Jebat, Melaka, sempena pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu.

“PKR akan bertanding di sembilan kerusi sebagai sebahagian daripada usaha Pakatan Harapan untuk memberikan saingan sengit dalam PRN Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembukaan pameran International Franchise Exhibition bagi Zon Selatan di Pusat Konvensyen Paradigm Mall, Johor Bahru, hari ini.

Fuziah, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata proses pemilihan calon PKR kini berada di peringkat akhir.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan parti lain, beliau berkata setakat ini belum ada sebarang persetujuan rasmi dimuktamadkan.

Bagaimanapun, katanya, PKR mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana parti yang bersedia menyokong kempen mereka.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai strategi kerjasama berkenaan kerana menyifatkannya sebagai urusan dalaman parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.

DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi membuka laluan kepada PRN berkenaan. - Getaran, 16 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved