
KUALA TERENGGANU – Rundingan pembahagian kerusi antara parti yang bakal bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.
Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penentuan kerusi perlu dibuat berdasarkan formula yang dipersetujui bersama termasuk mengambil kira kedudukan sedia ada di peringkat negeri dan Parlimen.
“Sebenarnya saya hendak betulkan istilah, bukan beri kerusi sebab bukan milik sesiapa tetapi ia dipertandingkan.
“Jadi, tidak ada mana-mana pihak boleh mendakwa kerusi itu milik mereka semata-mata. Kena ada formula, bincang macam mana,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, sekiranya formula status quo digunakan, kedudukan sedia ada di peringkat negeri dan Parlimen perlu diambil kira dalam rundingan pembahagian kerusi.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, pengumuman berhubung bentuk kerjasama dan pembahagian kerusi juga akan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh berkaitan PRN Melaka pada hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, PN masih menunggu maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung penggunaan logo gabungan tersebut pada PRN Melaka.
Beliau berkata, PN telah mengemukakan surat kepada ROS bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: PN masih bincang formula agihan kerusi appeared first on Kosmo Online.






